Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program hafal Al-Quran Masjid Alkaff Kampung Melayu perkukuh nilai murni generasi muda

Kelas Intensif Musim Cuti Sekolah: Junior Huffaz bagi kanak-kanak, remaja mula atau perkukuh hafalan antara usaha utama
Dec 12, 2025 | 5:30 AM
Hafazan Al-Quran menyubur jiwa dengan hidayah dan memandu generasi muda dalam dunia kian mencabar ini.
Hafazan Al-Quran menyubur jiwa dengan hidayah dan memandu generasi muda dalam dunia kian mencabar ini. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

USTAZ ABDUL RAHMAN SALAM

Pada era moden yang dilingkari teknologi serta dunia digital tanpa sempadan ini, satu persoalan sering timbul dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat: Apakah menghafal Al-Quran masih relevan untuk kanak-kanak dan remaja hari ini?

Hakikatnya, amalan menghafal Al-Quran bukan kekal relevan sahaja, bahkan semakin penting dalam membentuk jati diri generasi muda Muslim di Singapura.

Menghafal Al-Quran (hifz) bukan sekadar proses mengingati ayat-ayat suci, tetapi satu perjalanan rohani, intelektual dan moral. Ia menanam disiplin, kesabaran dan keteraturan dalam pembelajaran. Remaja dan kanak-kanak yang melalui proses hafazan lazimnya menunjukkan daya tumpuan lebih baik, pengurusan masa yang teratur serta kemahiran mengingat yang lebih kuat. Dalam dunia serba pantas dan penuh dengan gangguan digital, kemahiran ini menjadi aset amat bernilai.

Lebih daripada itu, Al-Quran adalah panduan hidup yang memupuk nilai murni. Ketika remaja berdepan cabaran identiti, tekanan sosial serta pengaruh media yang tidak menentu, hafazan, iaitu kegiatan menghafal Al-Quran, menjadi benteng moral yang melindungi hati dan pemikiran mereka. Menghafal Al-Quran menanamkan rasa dekatnya hubungan dengan Allah, membentuk jiwa lembut dengan bimbingan kerohanian, serta memberikan arah jelas dalam membuat keputusan.

Penulis berpendapat usaha menghafal Al-Quran bukan tentang mengukuh dan mengingati ayat tersebut dalam ingatan sahaja, bahkan menyuburkan jiwa dengan hidayah dan hikmah yang diturunkan oleh Allah swt. Generasi muda memerlukan hubungan ini, lebih-lebih lagi di tengah-tengah dunia yang penuh kekeliruan dan kebimbangan.

Walaupun masyarakat masa kini semakin bergantung pada teknologi, hafazan tetap relevan kerana ia bukan sekadar maklumat, akan tetapi ia adalah ikatan rohani. Teknologi boleh menyokong hafazan, tetapi tidak dapat menggantikan nilai kerohanian, disiplin dan kesatuan hati yang terhasil daripada proses menghafal dan mengulangi bacaan Al-Quran.

Bagi memastikan tradisi ini terus hidup dalam kalangan generasi muda, Masjid Alkaff Kampung Melayu mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program-program hafazan sepanjang tahun. Salah satu usaha utamanya ialah Kelas Intensif Musim Cuti Sekolah: Junior Huffaz, khusus untuk kanak-kanak dan remaja yang ingin memulakan atau mengukuhkan hafazan mereka. Program ini memberi penekanan kepada pembetulan bacaan, hafalan berperingkat, ulang kaji tersusun, serta sesi motivasi untuk memupuk kecintaan kepada Al-Quran.

Bagi yang berminat, sila layari media sosial Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk urusan pendaftaran atau kunjungi pejabat masjid. Pada masa sama, teruskan menyokong projek peningkatan masjid dengan sumbangan infak, agar usaha murni ini dapat disempurnakan demi manfaat kita bersama.

Dalam masyarakat yang semakin individualistik dan sibuk, menghafal Al-Quran muncul sebagai amalan yang mengembalikan keseimbangan jiwa. Ia mendidik, menenangkan dan memandu generasi muda kepada nilai yang benar. Justeru, hifz bukan sekadar warisan lampau, tetapi keperluan mendesak bagi membentuk generasi Muslim masa depan yang berprinsip dan berakhlak mulia.

Penulis Pegawai Eksekutif Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu.

SEKILAS:

Cara-cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

– Pindahan bank OCBC: 581-608668-001

Sila nyatakan “Dana Peningkatan” di bahagian “Rujukan” dan e-mel tangkap layar (screenshot) transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

– Hantarkan cek kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU

Sila nyatakan “Dana Peningkatan”, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek tersebut dan kirimkannya kepada: Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

– Paynow UEN : S94MQ0017D

Sila nyatakan “Dana Peningkatan” di bahagian “Rujukan”.

– Datang langsung ke pejabat masjid antara Isnin dengan Khamis, antara 9 pagi hingga 5:30 petang, atau pada Jumaat antara 9 pagi dengan 5 petang.

Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Ikutilah Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg