Syarikat yang melabur di Singapura mungkin mendapati insentif sedia ada dan faedah lain dibatalkan jika mereka gagal memenuhi syarat untuk sokongan pemerintah, kata Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, di Parlimen pada 4 Mac.
Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja, Encik Gerald Giam (GRC Aljunied), yang ingin tahu jumlah subsidi pemerintah, geran dan sokongan kewangan lain yang diberikan kepada pembangun permainan Perancis, Ubisoft, dari 2008 hingga 2024.
Encik Giam juga ingin tahu apakah petunjuk atau syarat prestasi utama yang dilampirkan pada sokongan tersebut dari segi pembangunan bakat tempatan, peranan kepimpinan bagi rakyat Singapura dan pemindahan pengetahuan, lapor The Business Times.
Encik Tan menjawab bahawa beliau tidak boleh mendedahkan butiran perjanjian dengan syarikat individu, ekoran klausa kerahsiaan dan kepekaan komersial.
Bagaimanapun, beliau berkata pemerintah mempunyai insentif ekonomi dan alat bagi menarik pelaburan dan menyokong syarikat berkembang dan mengubah perniagaan mereka.
Syarikat yang menerima sokongan sedemikian mesti memenuhi keperluan hasil utama seperti penciptaan pekerjaan, pengambilan pekerja setempat, perbelanjaan perniagaan atau pelaburan aset tetap.
Jika mereka gagal memenuhi syarat-syarat itu, pemerintah mempunyai mekanisme untuk menarik balik subsidi daripada mereka, tambah Encik Tan.
Dalam soalan tambahan, Encik Giam bertanya sama ada Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) Singapura pernah menarik balik pembiayaan untuk syarikat yang tidak memenuhi kewajipan mereka.
Encik Tan mengulangi bahawa beliau tidak boleh mengulas mengenai perjanjian syarikat individu tetapi berkata mekanisme tarik balik dikenakan ke atas insentif sedia ada dan faedah berkaitan.
Ubisoft telah berada di Singapura selama 15 tahun, kata Encik Tan.
Ia telah melatih lebih 780 warga Singapura dan Penduduk Tetap – yang sebahagian daripada mereka telah menjadi “pemimpin tempatan” – serta melatih lebih 150 pelatih.
Pasukan Singapura itu juga telah terlibat dalam menghasilkan susulan kepada salah satu produk utama syarikat itu, Assassin’s Creed.
Encik Tan berkata terdapat “aliran turun yang baik dan memberi kesan ke atas pewujudan pekerjaan yang sangat baru dan menarik dalam ruang pembangun permainan”, sambil menambah bahawa pemerintah menyokong ekosistem itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg