Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Insiden anti-Yahudi di S’pura membimbangkan

Pemerintah tidak akan bertolak ansur, semua masyarakat perlu dihormati
Nov 6, 2025 | 9:09 PM
k. shanmugam, anti-yahudi, singapura
Bercakap kepada media di Saumaah Chesed-El pada 6 November, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata semua rakyat serta masyarakat di Singapura mesti berasa selamat dan bebas mengamalkan agama mereka tanpa rasa takut atau terganggu. - Foto ST

Terdapat beberapa kejadian bersifat anti-Yahudi di Singapura, yang dianggap sebagai perkembangan yang membimbangkan, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.

Pada 6 November, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata bahawa pada September, beberapa tandas di sekolah antarabangsa yang mempunyai pelajar Yahudi telah diconteng dengan kata-kata kesat anti-Israel.

Pada Oktober pula, seorang lelaki Yahudi yang memakai kopiah semasa dalam perjalanan ke saumaah di Waterloo Street telah mendengar seorang pemandu yang menjerit, “Bebas Palestin”, kepadanya.

Kejadian itu berlaku susulan ketegangan sejagat akibat konflik Israel-Palestin sejak Oktober 2023.

Encik Shanmugam berkata demikian di luar sesi tertutup mendekati anggota masyarakat Yahudi di Saumaah Chesed-El, dekat Oxley Rise.

“Hari ini, saya berada di saumaah untuk berhubung dengan masyarakat Yahudi, bagi menjelaskan kepada mereka serta kepada orang ramai (yang) tindakan anti-Yahudi sesuatu yang tiada tolak ansur di Singapura.

“Di Singapura, undang-undang dan norma kita mencerminkan prinsip yang sangat mudah (iaitu) setiap individu, tanpa mengira bangsa atau agama, mesti dilayan dengan adil dan dibenarkan untuk mengamalkan agamanya dengan bebas.

“Dan semua rakyat Singapura, serta kesemua masyarakat di sini, tidak kira apa perasaan kita terhadap Palestin atau Israel, mesti berasa selamat dan dihormati di sini,” ujar beliau.

Lawatan Encik Shanmugam ke saumaah tersebut bertujuan untuk menenangkan kebimbangan masyarakat Yahudi serta menegaskan komitmen berterusan Singapura terhadap keharmonian antara kaum dengan agama.

Ia sempena sambutan ulang tahun ke-120 tempat ibadah tersebut dengan dihadiri sekitar 200 orang termasuk anggota Pertubuhan Antara Agama (IRO).

Turut hadir ialah Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash.

Saumaah tersebut merupakan salah satu daripada dua saumaah yang terdapat di Singapura, dengan satu lagi ialah Saumaah Maghain Aboth di Waterloo Street.

Encik Shanmugam menekankan bahawa tiada tolak ansur bagi tindakan bersifat anti-Yahudi di Singapura.

“Kesemua masyarakat kami, tidak kira bangsa atau agama, mempunyai hak untuk rasa selamat di Singapura, dan tidak kira saiz masyarakat mereka.

“Tempat ibadah mereka tidak boleh dijadikan sebagai kubu, ia perlu diakses dengan bebas.

“Ia sebenarnya sebahagian daripada masyarakat yang padu dan harmoni yang telah mengambil masa beberapa dekad untuk dibina,” kongsi beliau.

Sementara itu, terdapat peningkatan dalam tindakan bersifat Islamofobia sejak serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Ini termasuk beberapa kes yang melibatkan grafiti di tandas awam yang ditulis ‘Melayu Sokong Hamas’ pada lewat 2024, serta kejadian kiriman bungkusan daging babi ke beberapa masjid, termasuk insiden di Masjid Al-Istiqamah pada September lalu.

“Pada September, apabila (bungkusan) daging babi dihantar ke beberapa masjid, saya menegaskan pendirian saya dengan tegas menentangnya.

“Saya sendiri telah pergi ke Masjid Al-Istiqamah, yang merupakan salah satu masjid yang disasarkan... dan tindakan telah diambil,” jelas beliau.

Encik Shanmugam turut menekankan peranan penting pemimpin agama dan masyarakat dalam membantu rakyat memahami perbezaan antara agama dengan tindakan politik di luar negara.

“Saya rasa ia wajib bagi pemimpin agama, pemimpin masyarakat untuk tampil dan menegaskan semula komitmen kita terhadap kepelbagaian kaum dan agama, serta bahawa kita semua rakyat Singapura.

“Kita tidak membawa konflik luar negara untuk menentang satu sama lain. Apa yang berlaku di luar negara kekal di luar negara,” kongsi beliau.

“Di Singapura, undang-undang dan norma kita mencerminkan prinsip yang sangat mudah (iaitu) setiap individu, tanpa mengira bangsa atau agama, mesti dilayan dengan adil dan dibenarkan untuk mengamalkan agamanya dengan bebas. Semua rakyat Singapura, serta kesemua masyarakat di sini, tidak kira apa perasaan kita terhadap Palestin atau Israel, mesti berasa selamat dan dihormati di sini.”
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg