Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden bom palsu cetus panik: Pegawai keselamatan didenda $1,800

Dec 17, 2024 | 9:32 PM
Seorang bekas pegawai keselamatan, Durendran Vicknesh Venkatraman didenda $1,800 pada 17 Disember, atas kesalahan mencetus panik gara-gara insiden bom palsu.
Seorang bekas pegawai keselamatan, Durendran Vicknesh Venkatraman didenda $1,800 pada 17 Disember, atas kesalahan mencetus panik gara-gara insiden bom palsu. - Foto ST

Seorang bekas pegawai keselamatan didenda $1,800 pada 17 Disember selepas dia meninggalkan tugasnya di pondok pengawal dan terlupa mengeluarkan bom palsu yang sepatutnya digunakan dalam latihan keselamatan di tempat kerjanya pada masa itu. 

Sifat pelupa Durendran Vicknesh Venkatraman telah mencetuskan panik dan menyebabkan beberapa pegawai Home Team dihantar ke Sing Industrial Complex di Ang Mo Kio Industrial Park 2 pada 5 Januari. 

Sementara pegawai menyiasat objek yang menyerupai peranti letupan yang diubah suai (IED) itu, lebih 100 orang dipindahkan atau dilarang masuk ke kawasan itu sekitar 90 minit.

Objek itu merupakan bom palsu yang diletak di situ sebagai sebahagian daripada latihan keselamatan yang dirancang di kompleks tersebut, lapor The Straits Times.

Venkatraman, 46 tahun, diarahkan oleh seorang perunding keselamatan supaya membuang bom palsu itu, namun dia terlupa berbuat demikian sebelum syifnya tamat.

Pada 12 Disember, lelaki warga Singapura itu mengaku bersalah atas tuduhan membuat catatan palsu dalam buku rekod tugasan dan meninggalkan tempat kerjanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Ow Yong Tuck Leong berkata Venkatraman telah meninggalkan kompleks itu selama sekitar 5 jam setengah walaupun sepatutnya bekerja, dan telah mengunjungi kawan-kawannya di Oxley Tower di Robinson Road. 

Pada 12 Disember, dia mengaku bersalah di atas satu per satu tuduhan memalsukan kedatangannya dalam buku rekod tugasan, dan tidak hadir ke tempat kerja. 

Pada waktu dia melakukan kesalahan tersebut, dia merupakan pegawai keselamatan bertauliah yang bekerja sambilan dengan syarikat One Imperial Security. 

Pada akhir Disember 2023, pengarah syarikat tersebut meminta perundingcara keselamatan luar, Cik Linette Soon, dan Encik Kelvin Koh, agar mengadakan penilaian keselamatan sulit bagi pegawai keselamatan yang bertugas di Sing Industrial Complex.

Ini telah dirancang pada awal pagi 5 Januari 2024. 

Pada penghakiman sebelumnya, Timbalan Pendakwa Raya, Dan Pan berkata:

“Rancangan Linette dan Kevin adalah bagi Linette untuk mengalih perhatian pegawai keselamatan di pondak pengawal. Kelvin akan memasuki tempat tersebut dan meninggalkan bungkusan yang mencurigakan di tempat yang terbuka di kompleks itu tanpa diketahui pegawai keselamatan tersebut.” 

“Selepas itu, mereka akan secara rahsia mengambil gambar dan merakam bagaimana pegawai keselamatan itu menangani keadaan tersebut untuk tujuan penilaian.” 

Venkatraman telah memulakan syif 12 jamnya di kompleks tersebut sekitar 8 malam pada 4 Januari, dan merupakan pegawai keselamatan tunggal yang bertugas pada petang itu. 

Namun, pada sekitar 11.20 malam, dia meninggalkan tempat kerjanya tanpa memaklumkan perkara tersebut kepada sesiapa dan bertemu dengan kawannya di Oxley Tower.

Cik Soon dan Encik Koh tiba di rumah kawal sekitar 4.30 pagi pada 5 Januari dan mendapati ia kosong. Encik Koh kemudian menghubungi telefon bimbit Venkatraman untuk bertanya di mana dia berada.

Venkatraman berbohong bahawa dia sedang membeli makanan berdekatan kompleks itu dan sedang menuju kembali ke tempat kerjanya. 

Semasa menunggu ketibaannya, Encik Koh meletakkan IED palsu tersebut di ruang meletak motosikal bersebelahan dengan pondok pengawak. 

Kededua perundingcara keselamatan kemudian meninggalkan kompleks itu dan memberitahu pengarah syarikat One Imperial bahawa latihan tersebut telah dibatalkan. 

Walau bagaimanapun, mereka terlupa mengeluarkan bom palsu dari kompleks itu. Apabila Venkatraman sampai di tempat kerjanya sejurus selepas 5 pagi, dia menghubungi Encik Koh, yang memintanya untuk mengeluarkan bom palsu tersebut. 

Venkatraman juga memalsukan kedatangannya dalam buku rekod tugasan pengawal, dan menyatakan bahawa dia berada di tempat kerjanya sepanjang tempoh kerjanya. 

Pada 8 pagi, dia menyerahkan tugasnya kepada teman sekerjanya iaitu  Shiva Kumar Sayugan, 54 tahun, tetapi tidak memaklumkan tentang arahan Encik Koh 

Encik Shiva kemudian ternampak IED palsu tersebut dan menghubungi pihak polis. 

Pada 17 Disember, DPP Pan mendesak Hakim Ow Yong untuk menghukum Venkatraman dengan sekurang-kurangnya tiga minggu di penjara serta didenda, dan menekankan bahawa hukuman pencegahan diperlukan untuk mencegah pegawai keselamatan yang lain daripada melakukan kesalahan yang sama. 

DPP juga menyatakan bahawa fail kes-kes dakwaan Cik Soon dan Encik Koh masih terbuka, dan di bawah penilaian bagi tindakan yang boleh diambil terhadap mereka. 

Peguambela A. Rajandran memohon agar kliennya diberikan kelepasan bersyarat atau hanya didenda. 

Mahkamah dimaklumkan bahawa Venkatraman mempunyai IQ yang rendah serta masalah ginjal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg