Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel gara-gara ambil hasil curian bernilai $500,000 dari hutan

Dec 16, 2024 | 7:38 PM
Pada 16 Disember, warga China, Wu Jinxing (tengah), 28 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan atas satu pertuduhan mengendali hasil daripada kegiatan jenayah yang termasuk mengambil beg mewah, Hermes Birkin, bernilai sekitar $45,000 yang mengandungi sebahagian hasil curian dari kawasan hutan berhampiran stesen MRT Buona Vista.
Pada 16 Disember, warga China, Wu Jinxing (tengah), 28 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan atas satu pertuduhan mengendali hasil daripada kegiatan jenayah yang termasuk mengambil beg mewah, Hermes Birkin, bernilai sekitar $45,000 yang mengandungi sebahagian hasil curian dari kawasan hutan berhampiran stesen MRT Buona Vista. - Foto ST

Seorang warga China ditawarkan ganjaran 30,000 yuan ($5,560) jika dia datang ke Singapura untuk mengambil wang tunai dan barangan berharga bernilai hampir $500,000 yang dicuri sebelum itu.

Wu Jinxing, seorang penghantar makanan berusia 28 tahun, yang memperoleh sekitar 200 yuan sehari, menerima tawaran tersebut dan tiba di Singapura pada 27 Julai.

Dia kemudian pergi ke kawasan hutan berhampiran stesen MRT Buona Vista untuk mengambil sebuah beg mewah, Hermes Birkin, berwarna jingga bernilai sekitar $45,000 yang mengandungi sebahagian hasil curian.

Tidak lama kemudian, dia ditangkap dan didakwa di mahkamah pada 29 Julai.

Pada 16 Disember, Wu, yang kesalahannya dikaitkan dengan sindiket jenayah, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan.

Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengendali hasil daripada kegiatan jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Janessa Phua berkata dua pencuri – Wu Jianxin, 30, dan Huang Ziqian, 35 tahun – yang juga warga China, masih bebas.

Maklumat mengenai rumah yang menjadi sasaran mereka telah dikeluarkan daripada dokumen mahkamah, lapor The Straits Times.

Menurut dokumen tersebut, kedua-dua pencuri itu memecah masuk ke salah sebuah rumah pada Julai untuk mencuri beg Birkin, wang tunai dalam pelbagai mata wang, dan tiga jam tangan mewah yang setiap satu bernilai sehingga $165,000.

Mereka menyembunyikan hasil curian itu di Koridor Kereta Api.

Mereka turut pergi ke rumah lain untuk mencuri barang kemas, wang tunai, dan 12 lagi beg Hermes dan menyembunyikan barangan itu di belakang kawasan rumah di Bukit Sedap Road, yang terletak berhampiran Holland Road.

Mahkamah dimaklumkan bahawa kedua-dua Wu telah saling mengenali selama 12 tahun.

Pada 2.30 pagi pada 27 Julai, Jianxin menghubungi Wu dan memintanya terbang ke Singapura dengan segera untuk mengambil beg dan jam tangan bagi pihaknya.

Jianxin, yang menawarkan ganjaran 30,000 yuan, turut berjanji akan menanggung semua perbelanjaan perjalanan Wu, dan dia bersetuju walaupun sedar ia berkaitan kegiatan jenayah.

Bagi kesalahan mengendalikan hasil daripada kegiatan jenayah, Wu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda sehingga $500,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg