Para pencinta haiwan di Yishun dan Punggol sedang meningkatkan usaha untuk melindungi kucing-kucing yang berada di bawah jagaan mereka berikutan kes pembunuhan kejam melibatkan dua kucing terbiar.
Ini sedang Lembaga Taman Negara (NParks) sedang menyiasat kes tersebut yang berlaku awal Mei.
Di Yishun, seekor kucing masyarakat yang dikenali sebagai King Kong ditemui dalam keadaan perut terburai dan mata dikorek pada pagi 9 Mei.
Seorang penduduk yang sering memberi kucing makan di kawasan itu telah menawarkan ganjaran sebanyak $500 bagi sesiapa yang dapat memberi maklumat penting yang membawa kepada penangkapan pelaku.
Beberapa penduduk dan pemberi makan kucing kini juga lebih kerap memeriksa keadaan kucing-kucing di kawasan berkenaan, malah ada yang membawa haiwan tersebut pulang ke rumah untuk dilindungi sehingga pelakunya dikenal pasti oleh pihak berkuasa.
Di Punggol, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong mengumumkan pada 15 Mei bahawa Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol akan bekerjasama dengan NParks dan kumpulan kebajikan haiwan bagi meningkatkan kesedaran awam.
Langkah ini diumumkan menyusuli penemuan seekor kucing terbiar bernama Shere Khan yang cedera parah pada 12 Mei, lapor The Straits Times (ST).
Shere Khan akhirnya mati akibat kecederaannya, dan NParks – yang menyelia Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) – kini menyiasat insiden itu sebagai satu kes penderaan haiwan.
Sebelum itu, beberapa anggota Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) telah menjalankan kempen dari rumah ke rumah di beberapa blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Punggol dan Yishun, untuk mendapatkan petunjuk mengenai kes tersebut dan meningkatkan kesedaran dalam masyarakat.
Di Yishun, poster CWS yang merayu agar saksi tampil memberi maklumat telah dipasang dengan kelulusan dan bantuan Majlis Bandaran Nee Soon.
“Saya harap pihak berkuasa dapat melihat betapa seriusnya insiden pembunuhan ini,” kata perunding jualan runcit, Cik Janet Chin, merujuk kepada kematian King Kong.
“Ia bukan sahaja satu ancaman terhadap keselamatan, malah seolah-olah memberi mesej bahawa kucing masyarakat yang malang ini tidak penting.”
Selain menawarkan ganjaran, Cik Chin, 54 tahun, turut menyediakan sudut peringatan sementara untuk kucing tersebut bagi membolehkan penduduk memberi penghormatan serta meningkatkan kesedaran mengenai insiden itu.
Ramai yang meluahkan kemarahan terhadap kekejaman yang berlaku dalam kedua-dua insiden, dengan DPM Gan – yang kini merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Punggol yang baru dibentuk – berkata dalam satu hantaran Facebook bahawa ramai penduduk telah berkongsi pandangan mereka mengenai kebajikan haiwan susulan kematian Shere Khan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg