Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks siasat kes kematian kucing di Punggol

May 14, 2025 | 3:51 PM
penderaan kucing, kucing masyarakat, kucing tak berdosa
Berdasarkan kecederaan serius pada kucing itu, persatuan kebajikan haiwan Luni Singapore mengesyaki ia merupakan kes penderaan secara sengaja. - Foto FACEBOOK LUNI SINGAPORE

Satu kes disyaki kekejaman terhadap seekor kucing jalanan di Punggol sedang disiasat Lembaga Taman Negara (NParks), susulan kematian kejam seekor kucing lain minggu lalu.

NParks mengesahkan pada 13 Mei mereka dimaklumkan tentang penemuan seekor kucing yang cedera di tempat letak kereta berhampiran Blok 326B Sumang Walk di Punggol dan sedang menyiasat perkara tersebut.

Kumpulan kebajikan haiwan Luni Singapore membuat permohonan awam di laman Facebook mereka, mengisytiharkan apa yang mereka anggap sebagai salah satu kes yang paling kejam pernah mereka temui, lapor The Straits Times (ST).

“Kami sangat sedih untuk memaklumkan bahawa seekor kucing jantan bertompok bernama Shere Khan, juga dikenali sebagai Papa Cat, ditemui cedera parah berhampiran Blok 326B Sumang Walk, mungkin pada 11 atau 12 Mei,” kata kumpulan itu.

“Walaupun menerima rawatan veterinar segera, Shere Khan tidak dapat diselamatkan. Keadaan kecederaannya menunjukkan dengan kuat bahawa ia mungkin disebabkan oleh penderaan secara sengaja.”

Kumpulan itu berkata Shere Khan adalah kucing masyarakat yang lembut dan disayangi.

Mereka telah membuat permohonan untuk saksi, rakaman dashcam, atau CCTV dari kawasan dan tempoh masa yang terlibat.

Seorang jurucakap Luni Singapore memberitahu ST bahawa kucing itu dijaga oleh pemberi makanan tempatan dan ditemui cedera parah oleh individu tidak dikenali.

Memandangkan kucing itu mempunyai cip mikro dan berdaftar di bawah Luni Singapore, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) menghubungi kumpulan itu pada 12 Mei selepas kes ini dimaklumkan kepada mereka.

“Malangnya, kecederaan tersebut terlalu parah sehingga Shere Khan tidak dapat diselamatkan,” kata jurucakap itu.

Laporan veterinar mendedahkan kecederaan serius pada kucing itu, termasuk kededua bola mata terkeluar, pembekuan darah, bengkak pada lidah, lebam di muka kanan, luka kecil di kepala, dan kuku yang rosak pada keempat-empat kaki.

Kucing itu juga mengalami hipotermia (keadaan di mana suhu badan jatuh dengan cepat) dan dehidrasi apabila tiba di klinik.

Kos perubatan kecemasan berjumlah sekitar $260, yang ditanggung oleh Luni Singapore dengan sokongan sumbangan masyarakat.

“Kami sangat sedih dengan perbuatan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ini dan sedang membantu pihak berkuasa dalam siasatan mereka,” kata jurucakap itu. 

“Kami dengan ikhlas menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil supaya keadilan dapat ditegakkan untuk kucing yang tidak bersalah ini.”

Kes ini berlaku selepas kematian kejam seekor kucing lain di Yishun yang dilaporkan beberapa hari sebelumnya – kes yang mencetuskan reaksi marah daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, di media sosial.

Kucing di Yishun itu ditemui terburai isi perutnya dan matanya tercabut pada pagi 9 Mei. Ia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Dalam satu hantaran Facebook pada hari itu, Encik Shanmugam, yang juga anggota parlimen (AP) bagi GRC Nee Soon, tempat kejadian berlaku, menulis: “Jenis manusia apa yang sanggup melakukan ini? Ini bukanlah siapa kita sebagai sebuah masyarakat.”

Menurut statistik daripada Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA), 220 daripada 453 kes penderaan haiwan yang dilaporkan pada 2024 melibatkan kucing – menjadikannya spesies haiwan yang paling banyak didera di Singapura.

Jenis penderaan yang dilaporkan termasuk kecederaan fizikal, perangkap yang tidak berperikemanusiaan, kemalangan langgar lari, kecederaan atau pembunuhan sengaja, penggunaan kaedah yang kejam, dan pengabaian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg