Pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap hukuman penjara 14 bulan yang dijatuhkan ke atas seorang lelaki yang mendera lima ekor kucing, dan membunuh dua daripada kucing itu, dengan mencampak haiwan tersebut dari tingkat tinggi blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Mereka telah menuntut hukuman penjara 24 bulan untuk Barrie Lin Pengli, 32 tahun, yang menurut mereka, telah melakukan salah satu kes kekejaman haiwan paling buruk di Singapura.
Lin, yang disahkan menghidap gangguan kemurungan utama, dijatuhkan hukuman penjara pada 7 Februari.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), Timbalan Ketua Hakim Daerah Kessler Soh menyifatkan perbuatan itu sebagai menjijikkan, sambil menyatakan bahawa Lin telah membunuh, mencacatkan dan menyebabkan kesakitan yang tidak perlu kepada kucing-kucing kejiranan itu.
Tetapi hakim itu berkata beliau mendapati hukuman penjara 24 bulan yang diminta oleh pihak pendakwaan “agak berlebihan”, berdasarkan hukuman yang pernah dikenakan dalam kes-kes seperti itu.
Kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat rayuan pada 11 Februari terhadap hukuman Lin.
Peguam Lin, Encik Azri Imran Tan, memberitahu mahkamah, rayuan mereka difailkan sebagai respons kepada rayuan pihak pendakwaan.
Lin mula menjalani hukuman pada 11 Februari sementara menunggu keputusan rayuan.
Dia juga telah dilarang daripada memiliki mana-mana haiwan selama setahun selepas dibebaskan dari penjara.
Lin mengaku bersalah pada Oktober 2024 atas tiga pertuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan.
Mahkamah mendengar bahawa dia telah mendera lima kucing dalam tempoh satu tahun lapan bulan.
Pada mulanya, dia menendang kucing yang dijumpai sekitar akhir 2019.
Tidak lama kemudian, dia mula memasukkan kucing yang didera ke dalam beg kedap udara sebelum melepaskannya.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Regina Lim berkata setiap kali Lin berasa kecewa dengan kehidupan, dia akan pergi bersiar-siar di Ang Mo Kio untuk mencari kucing bagi melepaskan kemarahannya.
Lin memilih kawasan itu kerana dia tahu terdapat lebih banyak kucing di situ, kata DPP Lim.
Sekitar 3.30 pagi pada 21 April 2020, Lin telah mencampak seekor kucing dari tingkat 12, Blok 572 Ang Mo Kio Avenue 3.
Kucing itu mati akibat hentakan dan dia membuang bangkainya di kawasan lain yang tidak disebut dalam dokumen mahkamah.
Kira-kira sebulan kemudian, pada 15 Mei 2020, Lin mencampak seekor lagi kucing dari tingkat lapan, Blok 645 Ang Mo Kio Avenue 6.
Apabila Lin pergi ke tingkat bawah dan melihat kucing itu masih hidup, dia memijak leher haiwan itu hingga mati.
Dia kemudian membuang bangkainya ke dalam tong sampah di perhentian bas berhampiran.
Seorang saksi yang melihat Lin membunuh kucing kedua telah memaklumkan polis.
Dia ditangkap pada hari yang sama dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg