Institusi keagamaan di Singapura – salah satu negara paling selamat di dunia – telah menjadi sasaran pelbagai insiden sepanjang 2025, daripada perbuatan vandalisme sehingga menerima ancaman.
Situasi ini mendorong pihak berkuasa campur tangan serta mempertingkatkan kewaspadaan.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada November berkata perbuatan sedemikian tidak boleh diterima.
Beliau turut menambah bahawa insiden sebegini adalah satu kebiasaan di negara lain, dan boleh menimbulkan ketidakpercayaan serta memperdalam perpecahan di kalangan anggota masyarakat.
Encik Shanmugam memberi amaran bahawa Singapura mungkin akan berdepan masalah serupa jika negara tidak berhati-hati dalam menangani isu ini, lapor The Straits Times (ST).
Berikut adalah beberapa insiden berkaitan tempat ibadah di Singapura yang berlaku baru-baru ini, lapor The Straits Times:
1. Beberapa masjid menerima bungkusan mencurigakan
Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North telah menerima sebuah bungkusan mencurigakan pada 24 September, menyebabkan masjid itu perlu dikosongkan buat sementara waktu.
Manakala, seorang kakitangan telah dibawa ke hospital akibat sesak nafas.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam mendedahkan pada 25 September bahawa bungkusan tersebut mengandungi daging yang dipercayai daging khinzir.
Beliau juga berkata insiden ini bukan satu kejadian terpencil, dan beberapa masjid lain turut menerima bungkusan serupa.
Encik Shanmugam menegaskan bahawa perbuatan tersebut bersifat provokatif, dan siasatan sedang dijalankan.
“Apa juga motif, perbuatan ini ibarat bermain dengan api dan kami memandang hal ini dengan amat serius. Kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati bertanggungjawab,” tegas beliau.
Encik Shanmugam menegaskan bahawa Singapura mengambil sikap sifar toleransi terhadap perbuatan menyasarkan tempat ibadah dan ia tidak boleh diterima sama sekali.
2. Kata-kata anti-Israel di tandas sekolah
Encik Shanmugam menyatakan pada November bahawa terdapat beberapa insiden anti-Yahudi di Singapura, yang merupakan “perkembangan membimbangkan”, merujuk kepada beberapa kejadian berasingan.
Pada September, beberapa tandas di sekolah antarabangsa yang mempunyai pelajar Yahudi telah diconteng dengan kata-kata kesat anti-Israel.
Insiden itu berlaku susulan ketegangan global berhubung konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak Oktober 2023.
3. Remaja rancang bunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam di lima masjid
Pada 2 April, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mendedahkan bahawa pihaknya telah menumpaskan rancangan seorang remaja lelaki Singapura berusia 17 tahun yang ingin membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam di lima masjid selepas solat Jumaat.
Remaja itu dikatakan mendapat inspirasi oleh serangan masjid di Christchurch, New Zealand, pada Mac 2019 yang mengorbankan 51 nyawa orang Islam.
Pada Jun 2024, remaja itu menyenarai pendek lima masjid untuk diserang, iaitu Masjid Maarof di Jurong West; Masjid Jamek Queenstown di Margaret Drive; Masjid Darussalam di Clementi; Masjid An-Nur di Admiralty Road; dan Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road.
4. Barang mencurigakan ditemui di Gereja St Joseph
Sebuah barang mencurigakan telah ditemui di Gereja St Joseph di Bukit Timah pada pagi 21 Disember.
Barang itu disahkan tidak merbahaya dan keadaan di kawasan itu terkawal, kata polis.
Dalam satu kemas kini pada 11.08 pagi, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pegawainya dan Kumpulan Biologi, Radiologi Kimia dan Pertahanan Bahan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF CBRE) mencapai kesimpulan tersebut susulan pemeriksaan menyeluruh ke atas barang tersebut.
Barang yang ditinggalkan tanpa pengawasan itu menyebabkan gereja dikosongkan dan perkhidmatan misa (upacara keagamaan) dibatalkan buat masa ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg