Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden perkauman: Pesalah mungkin ditawar program pemulihan

Di bawah Inisiatif Pemulihan Masyarakat (CRI), pesalah perlu lakukan kerja sukarela dengan kumpulan yang perasaannya digores
Feb 4, 2025 | 9:24 PM
Inisiatif Pemulihan Masyarakat (CRI), di bawah Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum, memberi pesalah peluang belajar daripada kesilapan mereka melalui perdamaian dan pemulihan.
Inisiatif Pemulihan Masyarakat (CRI), di bawah Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum, memberi pesalah peluang belajar daripada kesilapan mereka melalui perdamaian dan pemulihan. - Foto fail

Individu yang terlibat dalam insiden perkauman mungkin ditawarkan peluang menyertai program pemulihan masyarakat sebagai alternatif kepada pendakwaan, di bawah undang-undang keharmonian kaum baru yang diluluskan di Parlimen pada 4 Februari.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, berkata pendakwaan jenayah mungkin perlu tetapi ia tidak boleh memperbaiki hubungan masyarakat secara bersendirian.

Menurut Encik Shanmugam, melalui perdamaian dan pemulihan di bawah Inisiaitif Pemulihan Masyarakat (CRI), pesalah diberi peluang belajar daripada kesilapan mereka.

“Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan bekerjasama terutamanya dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), OnePeople.sg dan rakan kongsi masyarakat, dalam merangka, menyampaikan, dan memantau hasil program CRI.

“Sebagai contoh, CRI boleh memerlukan tertuduh menjalani pemulihan dengan masyarakat yang telah digores perasaan mereka, mungkin dengan melakukan kerja sukarela dengan masyarakat tersebut, dan jika ia dirancang dengan betul, ia boleh membawa kepada hasil lebih baik,” jelasnya.

CRI merupakan satu di antara lima cadangan di bawah rang undang-undang tersebut.

Cadangan lain yang diperkenalkan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, termasuk mewujudkan satu sistem Arahan Sekatan (RO), dan pembentukan Majlis Presiden bagi Keharmonian Kaum dan Agama (PCRRH).

Cik Sun berkata pengeluaran RO akan tertakluk kepada perlindungan yang ketat dan semua RO yang dikeluarkan akan disemak PCRRH.

“Pemerintah akan berwaspada apabila menggunakan kuasanya untuk mengeluarkan RO. Hakikat bahawa tiada RO telah dikeluarkan setakat ini, sejak Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) diperkenalkan pada 1990, mencerminkan perkara ini.

“Namun ia tidak bermakna sistem RO tidak diperlukan. Sebaliknya, kewujudan sistem tersebut menjadi penghalang terhadap kelakuan yang mengganggu keharmonian agama,” ujar Cik Sun.

Individu yang dikenakan RO berkaitan kandungan berbaur perkauman akan diberi peluang membuat representasi kepada PCRRH.

Seterusnya, cadangan bebas daripada PCRRH mengenai RO tersebut akan dihantar kepada Presiden, diikuti dengan nasihat Kabinet kepada Presiden.

Jika nasihat Kabinet berbeza daripada cadangan PCRRH, Presiden akan mempunyai kuasa bertindak mengikut budi bicaranya untuk mengesahkan, membatalkan, atau mengubah RO tersebut.

Encik Shanmugam turut memberi contoh kes apabila pemerintah tidak mengeluarkan RO namun kuasa itu adalah berguna.

Beliau berkata: “Seorang pendakwah telah membuat beberapa kenyataan yang sangat menghina mengenai Buddhisme dan Taoisme di YouTube.

“Pegawai kementerian saya telah berbual dengannya dan pendakwah tersebut sangat memahami, bekerjasama dan menarik balik kenyataannya, beliau mengeluarkan video baru, dan itulah cara kami melakukan sesuatu di Singapura.”

AP Parti Pekerja (WP) Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied), telah mengemukakan soalan tentang perlunya lapisan pemeriksaan tambahan melalui PCRRH.

Menjawab soalan, Encik Shanmugam berkata: “Cik Lim tidak membantah sistem RO.

“Namun, apa yang beliau tidak setuju adalah semakan Presiden terhadap RO dan pandangan WP adalah bahawa pemeriksaan oleh Parlimen dan pihak awam terhadap kuasa menteri adalah mencukupi, dan tidak seharusnya ada lapisan pemeriksaan tambahan melalui PCRRH.

“Pandangan pemerintah adalah Parlimen dan pihak awam adalah pemeriksaan yang penting terhadap kuasa menteri, tetapi terdapat juga nilai yang besar dalam mengadakan lapisan pemeriksaan tambahan melalui PCRRH.

“Adalah wajar bagi Presiden, yang dipilih secara langsung oleh rakyat, untuk bertindak sebagai pemeriksa terhadap kuasa yang boleh dilaksanakan menteri, dan ini adalah serupa dengan model yang telah kita gunakan dalam perundangan lain, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan MRHA.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg