Pesawat Singapore Airlines (SIA), SQ321, terpaksa melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang antarabangsa di ibu kota Thailand, pada 21 Mei selepas menempuh gelora udara yang buruk, hingga mengakibatkan seorang penumpang maut manakala puluhan yang lain cedera.
Dari 2009 hingga 2022, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat mencatatkan seramai 163 penumpang dan anak kapal pesawat cedera parah akibat gelora udara yang ditempuh pesawat yang berdaftar di Amerika.
Berikut perkara yang and perlu tahu mengenai gelora udara.
1. Apakah itu gelora udara?
Profesor klimatologi bandar, Dr Matthias Roth, menyifatkan gelora udara sebagai pergerakan aliran udara yang tidak teratur, huru-hara dan tidak dapat diramal.
Gelora udara boleh berpunca daripada ribut, gunung, cuaca dan arus udara yang kuat seperti aliran jet, kata Dr Roth dari Jabatan Geografi, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menurut beliau, pergerakan gelora udara biasanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Jenis gelora udara yang diharungi pesawat SIA itu, yang digelar “gelora udara terang”, terjadi disebabkan perubahan dalam kelajuan angin, suhu udara atau tekanan pada jarak dekat.
Ia sukar dielakkan kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sukar diramal dan tidak kelihatan pada radar cuaca, lapor The Straits Times (ST).
Profesor Madya Steve Yim di Sekolah Alam Sekitar Asia, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata gelora udara boleh disebabkan perubahan mendadak dalam kelajuan dan arah angin akibat perbezaan suhu udara pada ketinggian berbeza.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) menyifatkan kejadian sedemikian sebagai “bahaya besar” bagi pesawat, terutamanya apabila pesawat terbang pada ketinggian lebih rendah.
Syarikat ramalan cuaca Amerika, AccuWeather, mengandaikan kemungkinan ribut petir yang berlaku dengan cepat berhampiran laluan penerbangan SQ321 mungkin menjadi antara penyebab gelora udara buruk itu.
2. Berapa kerap gelora udara menyebab kecederaan?
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika melaporkan lebih satu pertiga daripada semua insiden kemalangan dalam pesawat di Amerika dari 2009 hingga 2018 mempunyai kaitan dengan gelora udara.
Kebanyakan kejadian tersebut mengakibatkan kecederaan terhadap seorang atau lebih penumpang serta anak kapal, namun tidak pernah menyebabkan kerosakan pada pesawat.
Kematian akibat gelora udara amat jarang berlaku. FAA tidak mencatat sebarang kematian dari 2009 hingga 2022 akibat gelora udara.
Bagaimanapun, seramai 129 kru dan 34 penumpang pesawat cedera parah akibat gelora udara dalam tempoh tersebut.
Mereka mengalami kecederaan seperti patah tulang, pendarahan teruk dan kecederaan organ dalaman yang memerlukan rawatan dan penginapan di hospital selama lebih 48 jam.
3. Adakah gelora udara kini semakin kerap ekoran perubahan iklim?
Dalam satu kajian yang diterbitkan pada 2023, Dr Paul Williams, seorang profesor sains atmosfera di Universiti Reading, berkata bahawa kejadian gelora udara terang yang teruk di Lautan Atlantik Utara telah meningkat lebih 50 peratus dari 1979 hingga 2020.
Dr Roth dari NUS menjelaskan, kejadian gelora udara terang yang meningkat di lautan tersebut ada hubung kaitnya dengan perubahan iklim yang mengubah aliran jet.
Aliran jet adalah jalur angin kencang agak sempit yang berlaku pada altitud atau paras ketinggian lebih tinggi, yang biasa dilalui oleh pesawat komersial.
4. Bagaimana penumpang boleh jaga keselamatan diri?
Data daripada NTSB, iaitu, agensi yang menyiasat nahas pengangkutan awam di Amerika, menunjukkan bahawa dari 2009 hingga 2018, kegiatan paling kerap dilakukan oleh penumpang yang tercedera dalam kejadian gelora udara, ialah ketika mereka menggunakan tandas, menunggu giliran menggunakan tandas, atau semasa mereka berjalan dari tempat duduk ke tandas, atau sebaliknya.
Kegiatan seterusnya yang paling sering menyebabkan kecederaan adalah semasa mereka duduk tanpa memakai tali pinggang keledar.
Pakar penerbangan menasihatkan penumpang agar sentiasa memakai tali pinggang keledar demi menjaga keselamatan diri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg