Topik diikuti
Pergi ke BHkuInsiden Telok Blangah: Lelaki didakwa bunuh warga emas 73 tahun
Insiden Telok Blangah: Lelaki didakwa bunuh warga emas 73 tahun
Seorang lelaki didakwa atas tuduhan membunuh berhubung kes pembunuhan yang berlaku di Telok Blangah pada 5 Oktober.
Gabriel Foong Shi Cheng, 32 tahun, yang dihadapkan ke mahkamah menerusi pautan video dari Divisyen Polis Central pada 7 Oktober, dituduh membunuh Encik Tham Nam Poh, 73 tahun, di kolong Blok 57, Telok Blangah Heights.
Dalam satu kenyataan awal, polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan berhampiran Blok 61 pada sekitar 6 petang, 5 Oktober.
Setibanya di lokasi, polis mendapati Encik Tham terbaring tidak sedarkan diri di aras bawah blok berkenaan.
Seorang lelaki berusia 53 tahun, yang tidak dinamakan, turut ditemui cedera berhampiran tempat kejadian.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital sebelum Encik Tham disahkan meninggal dunia.
Menurut kenyataan itu, Foong kemudiannya menghubungi pihak polis untuk menyerah diri lalu ditangkap.
Jurucakap polis berkata Foong dipercayai bertindak sendiri dan tiada bukti menunjukkan serangan tersebut bermotifkan keagamaan atau tindakan pengganas.
Foong diwakili peguam, Encik Josephus Tan, Encik Cory Wong dan Encik Devlin Mohyong daripada firma peguam Invictus Law.
Mahkamah memerintahkan Foong direman di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi bagi penilaian Institut Kesihatan Mental (IMH), dan kesnya akan disebut semula pada 28 Oktober.
Pesalah yang disabitkan kesalahan membunuh berdepan hukuman mati.