Topik diikuti
Pergi ke BHkuInspirasi kembara selebriti, info pelancongan di ‘Travel & Fiesta Keluarga’
Inspirasi kembara selebriti, info pelancongan di ‘Travel & Fiesta Keluarga’
Inspirasi kembara selebriti, info pelancongan di ‘Travel & Fiesta Keluarga’
Buat julung-julung kalinya, Travel & Fiesta Keluarga, sebuah acara berkonsepkan gaya hidup santai dan mesra keluarga, akan berlangsung di Wisma Geylang Serai (WGS) dari 24 hingga 26 April.
Acara ini dianjurkan bersama Dreamcation Cruises and Tours dan KedaiSujimy.com, dengan sokongan rakan kerjasama utama Rehal Travel, FitFab, KedaiFabulous dan ST&T International, serta sokongan bersama oleh Lifewave dan Xin Furnishing.
Lebih bermakna, acara ini turut menyokong institusi pendidikan masyarakat Islam Singapura, dengan Madrasah Alsagoff sebagai penerima bantuan.
Pengunjung ke acara ini berpeluang mengetahui mengenai pelbagai destinasi pelancongan menarik, di samping menimba ilmu melalui sesi perkongsian serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai pakej percutian mesra Muslim.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), yang juga Pengasas Dreamcation, Encik Sujimy Mohamad, berkata: “Ramai pelancong hari ini bukan mencari destinasi menarik saja, malah mengutamakan perjalanan lebih terancang, selesa dan memenuhi keperluan keluarga.
“Ini termasuk memastikan waktu solat terjaga serta hidangan mesra Muslim.
“Justeru, sesi perkongsian pada acara ini memberi tumpuan kepada pengalaman sebenar, panduan praktikal serta inspirasi daripada pelbagai destinasi menarik untuk diteroka.”
Antara yang akan berkongsi pada sesi perkongsian melancong ialah selebriti Suhaimi Yusof, dengan jelajah yang dipimpin selebriti seperti ‘celebrity-led tour’ ke Taiwan, dari 6 hingga 13 Jun; Encik Sujimy dan Cik Haslinda Ali yang akan menyentuh tentang kembara ke Hunan; Cef Mel Dean dengan siri pengembaraan ‘KAPOWWW!’ di Jepun; dan Ustaz Shahib Amin serta Ustaz Hidayat Ismail daripada Rehal Travel, yang akan berkongsi perkembangan terkini berkaitan pelancaran syarikat umrah yang diasaskan bersama Encik Sujimy.
Pengunjung Travel & Fiesta Keluarga juga boleh mengunjungi reruai bagi mendapatkan khidmat nasihat pelancongan, pakej percutian menarik, gaya hidup serta pelbagai produk keperluan harian.
Mereka dapat berinteraksi terus dengan wakil bertugas bagi mendapatkan maklumat dan cadangan lebih terperinci mengikut keperluan masing-masing.
Pelbagai kegiatan menarik turut disediakan bagi memeriahkan suasana acara, termasuk cabutan bertuah yang menyediakan hadiah wang tunai bagi pengunjung.
Ini menjadikan acara tersebut bukan sebuah platform maklumat dan promosi saja, bahkan pengalaman santai menyeronokkan buat seisi keluarga. Masuk adalah percuma.
Maklumat Travel & Fiesta Keluarga:
Tempat: Wisma Geylang Serai (WGS), Aras 4 (Dewan Serba Guna)
Tarikh: 24 - 26 April
Masa: Jumaat: 3 petang – 9 malam; Sabtu & Ahad: 10 pagi – 9 malam.
