Institut baru penyelidikan barah telah dilancarkan di Singapura untuk membangun alat saringan kurang invasif dan lebih tepat bagi mengesan barah pada peringkat awal dan masih boleh dirawat.
Dikenali sebagai Institut Penyelidikan untuk Pencegahan, Saringan dan Pengesanan Awal Barah (Rise), ia akan dipimpin bersama oleh Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) dan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Dilancarkan pada 28 September sempena acara makan malam amal ulang tahun ke-25 NCCS, Rise akan menghimpunkan kakitangan perubatan dan saintis daripada kelompok penjagaan kesihatan awam, sekolah perubatan dan penyedia penjagaan utama untuk menilai teknologi baru saringan barah yang muncul dari dalam dan luar negara, lapor The Straits Times (ST).
Sumbangan $2.5 juta oleh usahawan seni kreatif, Encik Prajna Murdaya, akan memulakan usaha penyelidikan kesihatan awam institut baru itu.
Salah satu projek utama Rise adalah menilai dan mengenal pasti ujian pengesanan awal barah pelbagai jenis untuk dimasukkan ke dalam program saringan nasional.
Pada masa ini, ujian darah atau cecair badan tidak termasuk dalam garis panduan saringan nasional kerana kekurangan bukti mengenai kegunaan dan kos keberkesanannya.
NCCS adalah pusat barah nasional dan serantau yang memberi tumpuan kepada kemajuan penjagaan barah, penyelidikan dan pendidikan.
Ia mengendalikan sebahagian besar kes barah dalam sektor penjagaan kesihatan awam di Singapura.
Makan malam amal yang diadakan di The Ritz-Carlton, Hotel Millenia Singapura menyaksikan lebih 700 tetamu hadir, dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam, sebagai tetamu kehormat.
Beliau menyaksikan penyampaian empat sumbangan $1 juta bagi menyokong program penyelidikan kritikal pusat itu untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit.
Sumbangan itu, bersama $2.5 juta yang diperuntukkan untuk Rise, adalah sebahagian daripada $20.5 juta yang dikumpulkan untuk program penyelidikan barah dan sokongan pesakit NCCS.
Sumbangan itu termasuk $6 juta untuk Institut Penjagaan Paliatif Cynthia Goh bagi meningkatkan amalan dan akses penjagaan kepada pesakit dengan penyakit terminal, serta memperkukuh kapasiti penjagaan paliatif untuk keperluan masa depan.
Sumbangan $4.5 juta akan menyokong sebuah kemudahan penemuan ubat barah baru di NCCS untuk memanfaatkan kepelbagaian biodiversiti tumbuhan tempatan serta kemampuan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang terkini.
Ketua Eksekutif NCCS, Profesor Lim Soon Thye, berkata:
“Semakin ramai rakyat Singapura didiagnosis dengan barah setiap hari, jadi adalah penting untuk kita terus berinovasi demi memperbaiki hasil rawatan dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup.
“Matlamat kami adalah memanfaatkan sains data dan AI untuk membangunkan rawatan barah yang lebih tepat dan disesuaikan untuk pesakit kami.”
Beliau menambah: “Kami membayangkan masa depan NCCS bukan hanya pusat rawatan barah canggih, bahkan juga tempat yang penuh kasih sayang agar pesakit rasa dihargai dan disokong oleh pasukan penjagaan berdedikasi.”
Pada makan malam itu, Tuan Presiden turut memperkenalkan anggerik hibrid yang dicipta khas dengan nama, Papilionanda National Cancer Centre Singapore, yang melambangkan harapan, kekuatan dan penyembuhan untuk masyarakat barah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg