Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak (NIEC) akan menyatukan ibu pejabat semasa dan Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) dari premis sedia ada di Institut Pendidikan Nasional (NIE) di Nanyang Walk ke premis baru yang tersedia di Politeknik Ngee Ann (NP) pada 2026.
Dalam satu kenyataan pada 17 Oktober, NIEC mengatakan bahawa penyatuan itu akan membolehkan NIEC menghimpunkan guru pendidikan awal kanak-kanak (EC) agar mereka dapat saling bertukar idea, melibatkan diri dalam daya usaha pembangunan profesional dan berinteraksi antara satu sama lain.
Sebagai Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Awal Kanak-Kanak, NIEC akan bertindak sebagai peneraju pemikiran dalam pembangunan kepimpinan EC.
Ia akan melibatkan diri dan bekerjasama dengan Pusat Kajian dalam Pembangunan Anak NIE (CRCD) dan Pusat Inisiatif Holistik bagi Pembelajaran dan Pembangunan NUS (Child) melibatkan projek penyelidikan berkaitan kepimpinan awal kanak-kanak.
Mengumumkan demikian semasa sidang antarabangsa sulung NIEC yang berlangsung pada 17 dan 18 Oktober di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands sempena sambutan ulang tahunnya yang kelima, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menambah bahawa NIEC akan berfungsi sebagai pusat untuk semua EC.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa NIEC akan menjadi ruang bagi semua pendidik awal kanak-kanak, dan kami ingin semua pendidik awal kanak-kanak sentiasa kembali, berinteraksi dan mencapai kemajuan dalam pembangunan profesional mereka bersama NIEC.
“NIEC mesti menjadi pusat bagi semua orang boleh berkumpul, berkongsi amalan terbaik mereka dan menyokong satu sama lain dalam waktu yang mencabar,” kata Encik Chan.
Dalam ucapan beliau, Encik Chan turut berkata bahawa semua pendidik di Singapura mesti dilengkapi dengan pelbagai kemahiran untuk mendidik kanak-kanak yang mempunyai keupayaan minda berbeza.
Menurut beliau, pendidik tidak boleh menggunakan pendekatan umum yang sama rata.
Mereka harus terbuka untuk menerapkan amalan berbeza agar dapat berlaku adil terhadap bakat yang ada pada kanak-kanak.
Encik Chan berkata: “Perkembangan emosi sosial kanak-kanak adalah bahagian kritikal dan teras asas mereka.
“Saya berharap NIEC juga akan terus mengembangkan amalan dan menjalankan kajian mendalam tentang bagaimana kita boleh mengukuhkan asas emosi sosial anak-anak kita.
“Tanpanya, kita tidak boleh membesarkan anak-anak kita dengan seimbang dan berkembang secara holistik untuk menjadi individu serba boleh dan lengkap. Asas emosi sosial ini mesti bermula dari tahun-tahun awal.”
Dalam pada itu, NIEC turut memperkenalkan daya usaha baru yang dinamakan, Coaching Matters, yang disokong dan dibiayai oleh Lien Foundation.
Ia akan membangunkan sekumpulan jurulatih kepimpinan awal kanak-kanak untuk menjadi pembimbing atau mentor bagi calon pemimpin daripada program kepimpinan NIEC.
Daya usaha itu bertujuan mengubah dinamik antara pemimpin dengan guru, dan mempromosikan budaya bimbingan dan amalan mampan yang membolehkan pendidik menyokong satu sama lain untuk meningkatkan mutu dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg