Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Institut Pengajian Islam Pergas diiktiraf sebagai institusi pengajian rasmi

Peralihan strategik mampu jamin kelestarian mutu kurikulum dan profesionalisme asatizah dalam usaha lahirkan Muslim gemilang
Dec 19, 2025 | 5:30 AM
Ahli Lembaga Pengarah Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) bersama barisan pengurusan dan pegawai IPIP, dirakam selepas sesi rahat pertama yang menandai fasa baru pengurusan institusi ini. (Depan dari kiri) Ustazah Nazrana Haniff, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Dr Abbas Mohamed Shariff, Ustaz Mokson Mahori dan Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid.
Ahli Lembaga Pengarah Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) bersama barisan pengurusan dan pegawai IPIP, dirakam selepas sesi rahat pertama yang menandai fasa baru pengurusan institusi ini. (Depan dari kiri) Ustazah Nazrana Haniff, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Dr Abbas Mohamed Shariff, Ustaz Mokson Mahori dan Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid. - Foto INSTITUT PENGAJIAN ISLAM PERGAS (IPIP)

Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) dinaik taraf oleh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dari Madrasah Mingguan Pergas (MMP) pada 2005.

Sejak sekian lama, IPIP dikenali menerusi program pengajian Islam yang tersusun dan fleksibel. Pendekatan pengajiannya berteraskan pandangan Islam.

Kini, IPIP melangkah ke fasa baru selepas diiktiraf sebagai sebuah institusi pengajian rasmi.

Peralihan strategik ini diyakini mampu mengukuhkan kestabilan dan memperkasakan kedudukannya sebagai antara peneraju pendidikan Islam di Singapura, di samping menjamin kelestarian mutu kurikulum dan profesionalisme asatizah dalam usaha melahirkan Muslim gemilang.

Pengarah Eksekutif & Ahli Lembaga Pengarah IPIP, Ustazah Nazrana Haniff, berkata: “Penubuhan rasmi ini bukan sekadar perubahan struktur, malah satu komitmen jangka panjang untuk memperkasa pengajian Islam di Singapura.

“Kami mahu memastikan masyarakat mendapat akses kepada mutu pendidikan yang tinggi dengan menekankan perpaduan antara ilmu, amal, adab dan hikmah yang selari dengan keperluan semasa.”

Struktur baru

Sebelum ini, IPIP beroperasi sebagai salah satu daya usaha di bawah bahagian Khidmat Kemasyarakatan (Community Services) Pergas.

Kini, IPIP beroperasi sebagai sebuah entiti pengajian rasmi berdaftar tersendiri, iaitu IPIP by Pergas Pte Ltd, namun kekal sepenuhnya di bawah naungan dan pemilikan Pergas.

“Perubahan struktur ini bertujuan memperkukuh tadbir urus akademik serta meningkatkan kecekapan operasi IPIP, selaras dengan peranannya sebagai institusi pendidikan berteraskan adab dan hikmah yang kekal relevan serta mampu membimbing masyarakat menghadapi cabaran dunia moden berlandaskan pandangan Islam yang seimbang,” jelas Ustazah Nazrana.

Walaupun melalui fasa penyusunan semula, IPIP terus giat melaksanakan pelbagai daya usaha pembangunan akademik, antaranya termasuk pelancaran Program Sijil Pengajian Islam (SPI) dalam Bahasa Inggeris, pelaksanaan latihan intensif pembangunan profesional asatizah, serta penambahbaikan sistem kurikulum dan penilaian bagi memastikan mutu pengajian sentiasa terpelihara.

IPIP memperkukuh pengalaman pembelajaran melalui penyediaan prasarana fizikal, bahan rujukan yang lengkap, serta sistem pembelajaran digital yang menyokong persekitaran sesuai untuk pembelajaran.

Pada masa sama, IPIP merancang memperkenalkan program Sarjana Muda kendalian sepenuhnya institusi ini, dibangunkan oleh gabungan asatizah serta pakar tempatan dan antarabangsa, sekali gus melengkapi tawaran sedia ada termasuk program kerjasama bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Misi teras Pergas

Dalam melangkah ke fasa baru, IPIP kekal berpegang teguh kepada misi Pergas mahu membentuk generasi Khaira Ummah.

Menurut Ustazah Nazrana, generasi ini bukan sekadar pendakwah, bahkan “anggota masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia dan berhikmah dalam setiap tindakan, agar mampu menyumbang secara bermakna, demi kemajuan agama serta kesejahteraan negara”.

SEKILAS:

Pendaftaran bagi kemasukan Januari 2026 masih dibuka dan akan ditutup dalam masa terdekat. Orang ramai yang berminat untuk mengikuti pengajian Islam secara terperinci boleh lungsuri laman www.ipip.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg