Dalam menghadapi cabaran masa dan tuntutan kehidupan moden, Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan Islam yang berstruktur dan fleksibel.
Berpaksikan pandangan alam Islam, IPIP memastikan proses menuntut ilmu bukan sekadar melahirkan kecerdasan, malah membina kesedaran diri dan memupuk adab yang tinggi.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah IPIP, Ustazah Nazrana Haniff, semua program yang ditawarkan oleh IPIP disusun dan direka khas untuk mereka yang bekerja atau berkeluarga, agar pelajar dapat menyeimbangkan kerjaya, keluarga dan pengajian dengan lebih teratur dan berkesan.
“Semua program IPIP direka untuk mereka yang bekerja atau mempunyai tanggungjawab keluarga.
“Melalui kaedah ‘blended learning’ (pembelajaran teradun) yang menggabungkan kelas bersemuka, dalam talian dan rakaman, pelajar dapat menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga dengan pengajian dalam keadaan lebih tenang dan berkesan.
“Pendekatan ini mencerminkan roh pendidikan Islam yang menyeluruh, bukan sekadar penyampaian ilmu (taklim), tetapi juga proses (takdib) iaitu pembentukan insan beradab yang mengamalkan ilmunya dengan penuh hikmah,” jelas Ustazah Nazrana.
Diasaskan oleh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), program IPIP menyediakan laluan pendidikan Islam yang tersusun.
Daripada asas hingga ke peringkat possiswazah, bermula dengan Program Takrif Islam (PTI), Sijil Pengajian Islam (SPI), Sijil Lanjutan Pengajian Islam (SLPI), Diploma Pengajian Islam (DPI), sehinggalah peringkat Sarjana Muda (BIRKH).
Selain itu, IPIP turut menawarkan Program Takrif Islam (PTI) secara dalam talian sepenuhnya (PTI Online), bagi memudahkan individu yang mempunyai jadual padat atau tidak dapat menghadiri kelas secara fizikal supaya tetap memperoleh peluang mendalami ilmu agama dengan bimbingan asatizah berpengalaman.
Program Takrif Islam ialah program pengenalan asas yang dirangka khusus untuk individu yang belum mempunyai latar belakang atau asas pendidikan agama Islam.
Sebagai usaha mendekatkan masyarakat kepada kefahaman Islam yang sahih dan beradab, IPIP turut memperkenalkan Program Takrif Islam (PTI-English) dan Sijil Pengajian Islam (SPI-English) dalam bahasa Inggeris.
Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan karyawan, pelajar, saudara baru, suri rumah dan pesara yang ingin menimba ilmu dengan penuh hikmah dan kasih terhadap agama.
“Daya usaha ini menjadikan ilmu dan kefahaman Islam dapat dicapai tanpa batasan bahasa, selaras dengan matlamat IPIP untuk mendekatkan masyarakat kepada warisan pendidikan Islam yang murni, beradab dan berhikmah,” ujar Ustazah Nazrana.
Golongan muda juga menjadi tumpuan melalui Sijil Pengajian Islam Remaja (SPIR) bagi pelajar berumur 13 tahun hingga 15 tahun, sebagai usaha menanam asas ilmu yang diamalkan, adab yang dibentuk, dan hikmah yang dipupuk sejak usia muda.
Dalam memastikan mutu pendidikan yang tinggi, IPIP menekankan perpaduan antara ilmu, amal dan adab dengan hikmah.
Asatizah IPIP bukan sahaja berkelulusan dalam pelbagai bidang tradisi keilmuan Islam, malah dilatih dengan kemahiran abad ke-21 termasuk pedagogi digital, komunikasi berkesan serta penerapan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan beradab dalam proses pengajaran.
“Kami menekankan pembangunan profesional berterusan supaya asatizah sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat semasa, namun tetap berpaksikan adab, berlandaskan ilmu yang sahih, dan berhikmah dalam pendekatan,” kata Ustazah Nazrana.
Setiap proses pengajaran dilaksanakan dengan amanah dan adil, membentuk insan seimbang dari segi intelektual, rohani dan akhlak, selaras dengan falsafah IPIP yang berpaksikan takdib, iaitu pendidikan yang mendidik akal, membentuk jiwa dan membimbing amal.
IPIP berhasrat menjadi pusat rujukan pendidikan Islam berteras adab dan hikmah, yang kekal relevan sepanjang zaman serta mampu membimbing masyarakat menghadapi cabaran dunia moden dengan pandangan alam Islam yang benar dan seimbang.
“Tumpuan kami ialah melahirkan generasi Khaira Ummah, bermaksud umat terbaik, yang berpaksikan ilmu yang bermanfaat, amal yang soleh, adab yang luhur dan hikmah dalam tindakan, agar mereka dapat menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara,” tambahnya.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan pelajar, IPIP turut menyediakan Skim Biasiswa IPIP, atau IPIP Bursary Scheme (IBS), bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan kewangan agar semangat menuntut ilmu tidak terhalang oleh kekangan kemampuan.
Untuk maklumat lanjut mengenai program IPIP, layari pautan, https://ipip.sg atau hubungi talian 6346-9351.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg