Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insurans siber peribadi makin berkembang di S’pura dek peningkatan kes penipuan

Aug 26, 2025 | 6:27 PM
Lebih banyak syarikat insurans di Singapura kini menawarkan insurans siber peribadi berikutan peningkatan kes jenayah siber.
Lebih banyak syarikat insurans di Singapura kini menawarkan insurans siber peribadi berikutan peningkatan kes jenayah siber. - Foto ZAOBAO

Insurans siber peribadi telah muncul sebagai produk baru untuk melindungi individu daripada serangan siber, berikutan peningkatan kes jenayah siber. 

Produk itu diperkenalkan oleh Etiqa sebagai polisi berdiri sendiri pada 2018 dan kini ditawarkan oleh sekurang-kurangnya lima syarikat insurans di Singapura, dengan pampasan hingga $25,000 setahun untuk kerugian kewangan mangsa jenayah siber.

Polisi itu secara amnya meliputi risiko yang berkaitan dengan jenayah siber seperti transaksi tidak sah, penipuan e-dagang, dan kecurian identiti, lapor The Straits Times (ST).

Pada 2024, mangsa penipuan di Singapura kehilangan $1.1 bilion, yang merupakan jumlah tertinggi dalam setahun, menurut data polis Singapura. 

Polis menerima jumlah laporan penipuan tertinggi dalam sejarah pada 2024, dengan 51,501 kes berbanding 46,563 kes pada 2023.

Penipuan e-dagang adalah yang paling kerap berlaku pada 2024, dengan 11,665 kes dan kerugian sekurang-kurangnya $17.5 juta. Peningkatan jenayah siber juga berkait rapat dengan kekurangan kesedaran awam.

Satu kajian oleh Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura pada 2 Julai mendapati bahawa tiga daripada empat orang di Singapura tidak dapat membezakan ‘deepfake’ daripada kandungan yang sah – satu kebimbangan kerana ‘deepfake’ sering digunakan oleh penjenayah untuk menipu mangsa.

Dua pertiga responden dalam kajian itu berjaya mengenal pasti kandungan pancingan data, tetapi hanya 13 peratus yang dapat mengenal pasti semua kandungan pancingan data dan kandungan sah apabila keduanya digabungkan.

Satu kejadian yang menarik perhatian ialah $26,000 yang hilang dalam dua minggu akibat penipuan tiket konsert Blackpink pada Jun.

Jurucakap Persatuan Insurans Am (GIA) berkata: “Syarikat insurans yang menawarkan polisi insurans siber peribadi bertindak terhadap keperluan perlindungan pengguna dan risiko siber yang semakin meningkat.”

Etiqa Singapura melancarkan insurans siber peribadi pada 2018 untuk menangani ancaman digital yang semakin berkembang. Polisi mereka masih menawarkan perlindungan hingga $25,000 setahun bagi melindungi individu daripada penipuan siber, pemerasan siber, dan kecurian identiti serta pemulihan data.

“Seiring kehidupan rakyat Singapura yang semakin terhubung secara digital, insurans ini memberikan perlindungan penting terhadap risiko aktiviti dalam talian, memberikan pelanggan perlindungan kewangan dan ketenangan fikiran,” kata jurucakap Etiqa.

Kini, Etiqa mendapat lebih banyak persaingan. 

Sebagai contoh, pada Februari 2022, StarHub telah bekerjasama dengan Chubb Insurance untuk melancarkan CyberCover, skim insurans siber peribadi dalam alat keselamatan siber SafeHub+. 

CyberCover merangkumi perlindungan terhadap kecurian identiti, buli siber, transaksi tidak sah, dan perlindungan pembeli.

Bagi sesetengah syarikat insurans, perlindungan siber ditawarkan sebagai sebahagian daripada pelan insurans rumah yang lebih luas. 

Seorang jurucakap Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang mengawal industri kewangan berkata insurans boleh menjadi pelengkap yang berguna, tetapi ia tidak menggantikan amalan menjaga keselamatan siber dan sikap berwaspada.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg