Sebagai seorang pendamping, Encik Mohamed Fawzi Ali, melihat dirinya bukan sebagai kaunselor, malah sebagai kawan.
Pegawai pos berusia 55 tahun itu mula berdamping dengan bekas pesalah dalam perjalanan mereka bersepadu semula dengan masyarakat pada 2011, bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS).
Sebagai pendamping bersama dengan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) pula, Encik Fawzi telah menjadi sukarelawan di situ sejak 2019.
Menyingkap perjalanannya bersama Berita Harian (BH), Encik Fawzi berkongsi bahawa beliau tertarik untuk menjadi pendamping setelah menyedari betapa kurangnya sokongan Melayu/Islam terhadap bekas pesalah.
“Saya mula berdamping dengan pesalah sejak 2011 selepas Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang ketika itu Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), mengajak kami untuk menjadi pendamping kepada pesalah-pesalah yang berada di penjara.
“Saya masih ingat satu pembentangan ketika itu yang menunjukkan bahawa jumlah pendamping Melayu/Islam bagi pesalah sangat rendah.
“Kalau bukan masyarakat kita, bangsa Melayu kita, untuk menjadi pendamping kepada pesalah-pesalah ini, siapa lagi, bukan?” ujar Encik Fawzi, yang menyifatkan tugas sebagai pendamping sebagai satu cabaran yang perlu disahutnya.
Beliau adalah salah seorang daripada sekitar 240 sukarelawan aktif dalam program pendamping atau ‘Befrienders Fitrah’, yang menyediakan sokongan menyeluruh kepada banduan Islam serta keluarga mereka, melalui perkhidmatan dalam penjara dan juga selepas mereka dibebaskan.
Sambil memainkan peranannya dalam membimbing bekas pesalah, beliau akur bahawa perubahan sebenar mesti datang daripada diri mereka sendiri.
“Kami (pendamping) ialah kawan kepada mereka (pesalah).
“Namun, saya boleh katakan 70 peratus perubahan perlu datang daripada diri mereka sendiri.
“Kalau keinginan mereka adalah untuk berubah, di situlah kami memainkan peranan membimbing mereka,” kongsi datuk empat cucu itu.
Namun, Encik Fawzi tidak menjalani perjalanan itu sendirian kerana mempunyai rakan seperjuangan, Encik Affendi Mohamed Sumati.
Sering bekerjasama dalam memberi sokongan kepada bekas pesalah, mereka digelar sebagai, ‘Batman dan Robin’ oleh kakitangan Fitrah.
Menurut Encik Affendi, beliau menyifatkan Encik Fawzi sebagai ‘Batman’ kerana berpengalaman luasnya menjadi pendamping.
“Encik Fawzi (lebih) tua daripada saya jadi beliau seperti ‘Batman’. Maksud saya, beliau lebih berpengalaman dari segi cara berbual serta berinteraksi dengan masyarakat, keluarga dan pesalah.
“Untuk bertemu dengan pesalah di penjara bukan mudah kerana mereka mempunyai slot masa tertentu.
“Kalau Encik Fawzi tidak dapat hadir untuk slot masa yang diberikan, saya akan menggantikannya.
“Kami saling melengkapi,” kata pengurus Rangkaian Penduduk (RN) berusia 53 tahun itu sambil mengukir senyuman.
Selain sokongan emosi, Encik Fawzi membantu mereka mengatasi cabaran seperti menjalin semula hubungan keluarga, mengecapi kestabilan kewangan dan mendapatkan tempat tinggal yang tetap.
Menganggap bekas pesalah ini sebagai kliennya, beliau telah menyaksikan detik-detik pilu mereka melalui kehidupan, bahkan menitiskan air mata bersama-sama.
Merenung kembali kisah beliau sebagai pendamping, Encik Fawzi mengingati saat beliau dan Encik Affendi mengunjungi seorang klien mereka pada Ramadan.
Menurut beliau, klien tersebut sangat sayang kepada isteri dan anak-anaknya, namun terpaksa berpisah dengan mereka akibat kesalahan yang telah dilakukan.
“Waktu itu Ramadan, saya dan Encik Affendi singgah ke rumah klien kami untuk menyampaikan kuih raya kepada anak-anaknya yang masih kecil.
“Kami tidak masuk ke dalam rumah, tetapi (tunggu) di luar.
“Kami menyampaikan salam daripada klien kami kepada keluarganya, serta mengingatkan mereka yang kami ialah pendampingnya dan boleh dihubungi jika perlu,” ujar Encik Fawzi.
Selain itu, beliau juga pernah berhadapan dengan klien yang tidak memiliki baju Melayu untuk menyambut Hari Raya.
“Setelah bertahun mengenali klien ini, saya baru dapat tahu bahawa beliau tidak mempunyai baju kurung untuk Hari Raya,” kata Encik Fawzi yang terkesan apabila mendapat tahu tentang keadaan kliennya itu.
Walaupun menghadapi kesukaran bertemu kliennya pada Hari Raya pertama disebabkan jadual yang sibuk, Encik Fawzi dan kliennya akan saling mengirim dan membalas ucapan ringkas Hari Raya melalui WhatsApp.
“Hanya dengan membaca teks ucapan Hari Raya yang dikirim mereka melalui WhatsApp, saya dapat rasakan kebahagiaan mereka menyambut Lebaran bersama keluarga.
“Moga-moga Hari Raya ini, mereka dapat sambut dengan kemeriahan bersama keluarga,” ujar Encik Fawzi.
“
Hanya dengan membaca teks ucapan Hari Raya yang dikirim mereka melalui WhatsApp, saya dapat rasakan kebahagiaan mereka menyambut Lebaran bersama keluarga. Moga-moga Hari Raya ini, mereka dapat sambut dengan kemeriahan bersama keluarga.“
Kami (pendamping) ialah kawan kepada mereka (pesalah). Namun, saya boleh katakan 70 peratus perubahan perlu datang daripada diri mereka sendiri. Kalau keinginan mereka adalah untuk berubah, di situlah kami memainkan peranan membimbing mereka.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg