Lebih 80 amaran Interpol yang menyasarkan aset jenayah di serata dunia telah dikeluarkan dalam tempoh tujuh bulan sejak pertubuhan polis antarabangsa itu merintis Notis Perak barunya.
Amaran itu bertujuan mendapatkan maklumat mengenai aset bernilai lebih 320 juta euro ($479 juta) yang dikaitkan dengan jenayah kewangan dan terancang seperti penyeludupan dadah, rompakan dan penipuan.
Aset tidak sah yang berjaya dijejaki melalui amaran yang dilancarkan pada 10 Januari 2025 itu termasuk hartanah, barang kemas dan juga lembu-lembu yang dikaitkan dengan seorang anggota kanan mafia Italy, lapor The Straits Times (ST).
Maklumat itu disampaikan pada 26 Ogos oleh Penyelaras Operasi di Pusat Jenayah Kewangan dan Pencegahan Rasuah Interpol, Encik Claudio Marinelli, semasa bengkel mengenai Notis Perak yang dianjurkan untuk negara-negara Asia Pasifik.
Bengkel itu diadakan pada 26 dan 27 Ogos di bangunan Global Complex for Innovation Interpol di Napier Road.
Amaran tersebut ialah jenis notis berwarna terkini daripada Interpol dan membantu agensi penguatkuasa undang-undang mengesan aset yang disembunyikan di luar negara oleh penjenayah.
Encik Marinelli berkata sebelum adanya Notis Perak, tiada alat berkesan untuk menjejaki aset secara global. Ini menjadi isu besar kerana jenayah kini merentas benua.
“Anda boleh menahan penjenayah, tetapi jika anda tidak merampas keuntungan haram mereka, tugas anda hanya separuh selesai,” tambahnya.
Fasa perintis itu melibatkan 51 negara dan wilayah, termasuk Singapura, yang boleh menggunakan Notis Perak untuk meminta maklumat daripada kesemua 196 negara anggota Interpol mengenai aset jenayah.
Pengarah direktorat keselamatan dan pertubuhan antarabangsa di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Encik Gregory Foo, dalam ucapannya di bengkel itu berkata kadar pemulangan aset jenayah di seluruh dunia hanya sekitar dua hingga tiga peratus.
Cabaran yang dihadapi termasuk kekangan undang-undang dan kesukaran menjejak dana merentas negara.
Namun, beliau menggesa penggunaan Notis Perak agar penguatkuasa undang-undang global dapat bertindak dengan lebih berkesan.
Encik Marinelli menambah bahawa jenayah kewangan sering dilakukan secara senyap oleh profesional yang membina infrastruktur kewangan untuk kegunaan penjenayah.
Notis Perak pertama dimohon oleh pihak berkuasa Italy pada 10 Januari bagi mendapatkan maklumat tentang aset milik seorang anggota kanan mafia yang diperoleh melalui pemerasan dan pelbagai kesalahan lain.
Berkaitan Singapura, Encik Marinelli berkata sekiranya Notis Perak telah wujud pada 2023, ia mungkin dapat membantu dalam kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion, yang melibatkan 10 warga asing.
Ketika itu, pihak berkuasa telah menggunakan semua alat sedia ada untuk mengesan aset berkaitan, namun Notis Perak mungkin dapat membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama antarabangsa.
Notis Perak kini menjadi tambahan kepada beberapa notis berwarna lain oleh Interpol, seperti Notis Merah (untuk lokasi dan penahanan individu), Notis Kuning, Notis Biru, dan sebagainya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg