New York: Pengurus baru Liverpool, Andoni Iraola, berharap pemain pertahanan Jeremie Frimpong, tidak mengalami kecederaan selepas pemain itu meminta dikeluarkan pada pertengahan babak kedua dalam perlawanan pramusim yang berakhir dengan kekalahan 2-4 kepada Leeds United di Chicago, Amerika Syarikat, pada 3 Ogos.

Liverpool tidak mampu kehilangan pemain berusia 25 tahun itu berikutan beberapa masalah kecederaan menjelang musim baharu Liga Perdana England (EPL).

Pemain pertahanan, Joe Gomez, dijangka terlepas aksi pembukaan musim selepas mengalami kecederaan otot ketika kemenangan ke atas Sunderland, manakala dua lagi rakan pertahanan, Conor Bradley, dan Giovanni Leoni; serta penyerang Hugo Ekitike masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan.

“Jeremie meminta dikeluarkan tetapi saya tidak fikir beliau mengalami kecederaan serius,” kata Iraola kepada media Liverpool selepas perlawanan itu.

“Beliau cuma mengalami sedikit keletihan. Saya harap itu bukan kecederaan. Saya tidak fikir kami kehilangan mana-mana pemain.”

Iraola, yang berasal dari Sepanyol, dan menyertai ‘The Reds’ pada Jun selepas Arne Slot dari Belanda dipecat, berkata perlawanan itu memberi banyak pengajaran berharga sedang mereka menamatkan persiapan pramusim di Amerika.

“Sudah tentu ini bukan keputusan yang kami inginkan, tetapi saya fikir ini mungkin perlawanan persahabatan yang paling bermanfaat, dengan persembahan baik pada separuh masa pertama, dan sebaliknya pada separuh masa kedua,” katanya.

“Kami belajar banyak perkara hari ini dan saya fikir kami dapat membuat kesimpulan yang baik serta menyelesaikan beberapa perkara.”

Liverpool, yang menamatkan musim lalu di tangga kelima, akan bertandang ke Newcastle United bagi aksi pembukaan EPL pada 23 Ogos. – Agensi berita.