LONDON: Liverpool telah mencapai persetujuan lisan dengan Andoni Iraola untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih kelab tersebut susulan pemecatan Arne Slot.

Iraola meninggalkan Bournemouth pada penghujung musim dan menjadi pilihan utama untuk menggalas peranan tersebut di Anfield.

Menurut laporan The Athletic, Iraola dijangka menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab yang menduduki tempat kelima dalam Liga Perdana England (EPL) musim 2025/2026 baru-baru ini.

Sepanjang kerjaya kejurulatihannya bersama kelab Cyprus, AEK Larnaca; kelab Sepanyol, Mirandes dan Rayo Vallecano; serta Bournemouth, Iraola kelihatan lebih gemar memilih kontrak jangka pendek.

Pengumuman rasmi bagi mengesahkan pelantikan Iraola dijangka dibuat pada minggu ini.

Pengurus kelahiran Sepanyol berusia 43 tahun itu dilaporkan berhasrat membawa pembantunya di Bournemouth, Tommy Elphick dan Shaun Cooper, ke Anfield sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatihannya.

Difahamkan bahawa Bournemouth masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Elphick mahupun Cooper berhubung masa depan mereka.

Sementara itu, Liverpool berhasrat memuktamadkan pelantikan ini secepat mungkin.

Mereka inginkan seorang pengurus yang menepati gaya permainan pilihan mereka yang lebih cenderung membuat serangan serta agresif.

Difahamkan juga bahawa Elphick, yang merupakan penyokong tegar Liverpool, masih belum dihubungi oleh skuad The Reds namun berminat dengan peluang tersebut.

Bekas pemain pertahanan tengah Bournemouth berusia 38 tahun itu telah menolak tawaran untuk menjadi pengurus Bristol City minggu lalu supaya dapat menilai pilihan sedia ada yang lain.

Proses pengambilan pengurus baru di Anfield diketuai oleh pengarah sukan Liverpool, Richard Hughes, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Iraola di Bournemouth.

The Reds memecat Slot pada 30 Mei, setahun selepas pengurus asal Belanda itu membimbing kelab tersebut merangkul kejuaraan EPL bagi musim 2024/2025. – Agensi berita.