Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ironi pendigitalan: Lahir komuniti baru, cabar perpaduan sosial

Transformasi digital, penghijrahan manusia dan kesejagatan ekon tidak sekata, cetus ketidaktentuan
Jun 25, 2025 | 4:29 PM
pendigitalan, persidangan antarabangsa mengenai masyarakat bersatu padu, iccs
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, dalam ucaptamanya di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) pada 25 Jun di Pusat Konvensyen Raffles City mengenai ketidaktentuan dunia. - Foto ST

Pendigitalan telah menyenangkan proses bagi mendapatkan maklumat, serta melahirkan bentuk perpaduan dan masyarakat yang baru.

Namun, manfaat daripada pendigitalan, malangnya, hadir dengan kos yang besar, kata Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Dalam ucaptamanya di Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) yang ketiga pada 25 Jun, Sultan Nazrin berkongsi tiga faktor yang telah mencetus ketidaktentuan dan mencabar keharmonian sosial.

Antaranya, transformasi digital masyarakat, penghijrahan manusia dan kesan kesejagatan ekonomi yang tidak sekata.

“Manusia kini boleh berhubung dengan individu di seluruh dunia, membentuk masyarakat yang tidak lagi terbatas oleh geografi (tempat) atau etnik (kaum) dan disatukan oleh nilai dan perjuangan bersama.

“Kita sedang memupuk sejenis empati sejagat, satu rasa tanggungjawab kolektif.

“Namun, kita juga sedang memasuki era gangguan digital.

“Ruang digital kita, yang sepatutnya berperanan membuka pintu dan minda, sebaliknya menjadi punca ia tertutup.

“Teknologi yang menjanjikan keterangkuman boleh, secara ironi, mengukuhkan pengasingan,” tambah Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin menambah bahawa peningkatan rasa benci dalam talian juga berlaku, sejajar dengan penyebaran teori konspirasi, fahaman pelampau, malah juga pengganasan.

Di samping itu, perubahan iklim, konflik, serta ketidakstabilan ekonomi dan politik sedang memaksa sejumlah besar manusia untuk berhijrah lebih pantas daripada kemampuan negara tuan rumah untuk menyesuaikan diri.

“Cabaran ini menjadi lebih buruk jika rakyat berasakan institusi tidak berpihak kepada mereka.

“Golongan minoriti mungkin berasa suara mereka tidak didengari, manakala majoriti pula berasa terpinggir.

“Golongan populis (penyokong keprihatinan orang awam) sering menyebarkan stereotaip yang tidak berasas terhadap golongan minoriti dan pendatang, dengan menggambarkan mereka secara palsu dan negatif sebagai pihak yang mencari peluang dan penjenayah,” kata Sultan Nazrin.

Justeru, sikap terbuka perlu dipupuk dan punca yang memaksa manusia untuk berhijrah perlu ditangani sejak awal lagi.

Di peringkat nasional, Sultan Nazrin menggesa agar pemerintah bekerja lebih keras demi memupuk keterangkuman dan penyepaduan, serta membina keharmonian dan persefahaman antara masyarakat berbilang latar belakang.

Dari sudut penyejagatan, Sultan Nazrin berkata ia telah membawa manfaat besar seperti meningkatkan pendapatan, mengurangkan kemiskinan serta jurang antara negara.

Namun, manfaat itu tidak diagihkan secara saksama, tambahnya.

“Di dalam sesebuah negara, ceritanya berbeza, ada yang untung dan ada yang rugi.

“Sesetengah individu, terutamanya mereka yang berada di persekitaran yang kurang membangun atau bekerja dalam sektor berkemahiran rendah, telah mengalami kerugian.

“Manakala yang lain, khususnya golongan berpendidikan tinggi dan mereka yang bekerja di bandar sejagat yang pesat membangun seperti di Singapura, London atau New York, menikmati faedahnya,” kata Sultan Nazrin.

Oleh itu, mengharungi ketidaktentuan memerlukan daya ketahanan serta pembaharuan; dan yang paling penting, kerjasama dan keberanian kolektif.

Dengan membina semula kepercayaan melalui pelaburan dalam kecelikan media, keutuhan digital dan komunikasi yang jujur, mengutamakan kesaksamaan, mengamalkan kepelbagaian, serta mempunyai wawasan yang jelas, ketidaktentuan dapat diatasi, tambahnya.

Manusia kini boleh berhubung dengan individu di seluruh dunia, membentuk masyarakat yang tidak lagi terbatas oleh geografi (tempat) atau etnik (kaum), dan disatukan oleh nilai dan perjuangan bersama... Namun, kita juga sedang memasuki era gangguan digital. Ruang digital kita, yang sepatutnya berperanan membuka pintu dan minda, sebaliknya menjadi punca ia tertutup. Teknologi yang menjanjikan keterangkuman boleh, secara ironi, mengukuhkan pengasingan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg