Topik diikuti
Pergi ke BHkuIskandar Jalil, Ustaz Hasbi antara yang diiktiraf Anugerah Kebangsaan
Presiden Tharman sampaikan Anugerah Kebangsaan kepada lebih 400 individu atas khidmat bakti
Iskandar Jalil, Ustaz Hasbi antara yang diiktiraf Anugerah Kebangsaan
Pakar tembikar terkemuka, Dr Iskandar Jalil; Ketua Hakim Negara, Encik Sundaresh Menon dan mantan Pengerusi Majlis Penasihat Presiden, Encik Eddie Teo Chan Seng antara lebih 400 individu yang menerima penghormatan Hari Kebangsaan dalam satu majlis di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 22 November.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang menyampaikan anugerah tersebut, memberi penghargaan kepada para penerima atas khidmat bakti mereka yang tidak ternilai.
Mereka telah menggunakan kebolehan mereka untuk bekerjasama dengan orang lain bagi menambah baik kehidupan rakyat Singapura, serta mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan.
Dalam satu catatan Facebook, beliau berkata: “Saya amat menghormati Dr Iskandar, atas pemikiran dan daya ciptanya yang unik dalam membentuk budaya Singapura.”
Dr Iskandar, 86 tahun, yang menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang, turut mengabdikan hidupnya untuk mengajar dan membimbing generasi demi generasi artis seramik, tambah Tuan Presiden.
Hakim Menon, yang menerima Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian), mengetuai badan kehakiman dengan penuh ketelitian sepanjang tempoh perkhidmatannya, serta menjadikan keadilan lebih mudah diakses oleh orang ramai dengan memudahkan prosedur, kata Tuan Presiden.
Beliau mengambil alih jawatan tertinggi di Bangku Kehakiman 14 tahun lalu pada November 2012, dan akan meletak jawatan sebagai ketua badan kehakiman pada 26 Februari 2027.
“Menerusi penghakiman, ucapan dan penulisannya, beliau telah memberikan sumbangan penting kepada pemikiran undang-undang mengenai kedaulatan undang-undang dan etika kehakiman, sekali gus memperkukuh bidang kuasa perundangan dan kedudukan antarabangsa Singapura,” kata Tuan Presiden.
Hakim Menon, 64 tahun, turut mempelopori pendekatan keadilan terapeutik di Mahkamah Keadilan Keluarga dan Mahkamah Belia, serta menubuhkan Kolej Kehakiman Singapura bagi menambah baik pendidikan kehakiman.
Dalam catatannya, Tuan Presiden berkata Encik Teo, yang turut menerima Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian), memberikan sumbangan secara senyap namun berkekalan kepada Singapura sepanjang kerjayanya yang panjang dalam perkhidmatan awam, merangkumi bidang risikan, keselamatan dan pertahanan.
“Sepanjang tujuh tahun memegang jawatan sebagai pengerusi Majlis Penasihat Presiden, beliau turut memberikan nasihat yang bernas dan penuh kebijaksanaan sebelum bersara pada Jun lalu,” tambah beliau.
Encik Teo, 76 tahun, memulakan kerjayanya pada 1970 dengan Bahagian Keselamatan dan Risikan Kementerian Pertahanan, dan menjadi pengarahnya ketika berusia 31 tahun. Beliau kemudian berkhidmat sebagai setiausaha tetap di beberapa kementerian.
Beliau bersara pada 2018 sebagai ketua Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) selepas hampir lima dekad berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Tuan Presiden turut memberi penghargaan kepada Ustaz Mohamad Hasbi Hassan – yang menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang – kerana menjadikan kaunseling agama sebagai salah satu tonggak utama dalam usaha menangani ekstremisme dan memperkukuh perpaduan sosial.
Ustaz Hasbi, 66 tahun, membantu menubuhkan dan menjadi Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), dan turut merupakan mantan presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Tuan Presiden berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang diiktiraf pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kebangsaan tahun ini atas khidmat bakti mereka yang tidak ternilai.
“Setiap daripada mereka telah menyumbang kepakaran masing-masing dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membina masyarakat yang lebih berdaya tahan.”