Lebih 450 anggota Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah dihoskan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di sebuah majlis resepsi pada 12 Julai.

Pertama kali diadakan pada 1992, majlis tahunan ini bertujuan mengiktiraf komitmen Mindef dan anggota SAF serta anggota dari Komuniti Teknologi Pertahanan (DTC), dan sumbangan berharga mereka terhadap pertahanan Singapura.

Majlis yang diadakan di Mindef yang terletak di Gombak Drive itu juga mengiktiraf usaha anggota perkhidmatan yang menyumbang kepada operasi berbilang negara, operasi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana, dan operasi penghantaran pulang.

“Semasa resepsi tersebut, Tuan Presiden berinteraksi dengan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen), Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa, Anggota Tetap, pegawai eksekutif pertahanan, sukarelawan Kor Sukarelawan SAF, dan anggota dari DTC.

“Mereka berkongsi perspektif mereka tentang Perkhidmatan Negara dan keperluan untuk pertahanan yang kukuh.

“Ini terdiri daripada penyertaan dalam latihan dua hala dan pelbagai hala dan operasi luar negara, hinggalah mengimbangi tugas NS dengan komitmen peribadi,” kata Mindef.

Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (berbaju putih) berinteraksi dengan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (berbaju putih) berinteraksi dengan pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). - Foto MINDEF

Majlis itu juga dihadiri Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo serta pegawai kanan lain.

Turut bersama adalah anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) Pertahanan dan Ehwal Luar, Majlis Penasihat Perhubungan Masyarakat dalam Pertahanan (Accord) dan Liga Veteran SAF.