Izinkan saya mulakan dengan menekankan semula prinsip yang membentuk pendirian Singapura mengenai konflik Israel-Palestin.
Kami secara konsisten menyokong penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, sebagai cara untuk rakyat Israel dan Palestin hidup bersebelahan dalam keamanan dan keselamatan.
Ini adalah satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai penyelesaian yang lengkap, adil dan tahan lama kepada konflik. Kami juga secara tekal menyokong hak rakyat Palestin ke atas tanah air sendiri.
Pada 1988, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengeluarkan pengisytiharan mengenai negara Palestin yang mengesahkan pembahagian Mandat Palestin oleh PBB kepada sebuah Negara Arab dan Yahudi, serta keputusan PLO untuk meninggalkan keganasan terhadap Israel.
Kami mengalu-alukan pengisytiharan ini kerana PLO telah secara jelas menolak keganasan dan mengiktiraf hak negara Israel untuk wujud. Kami melihat langkah ini sebagai kemajuan ke arah penyelesaian yang tahan lama.
Pada 18 April, resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mencadangkan agar Palestin diterima menjadi ahli dalam PBB telah diveto.
Pada 10 Mei, Perhimpunan Agung telah mengeluarkan resolusi menyatakan sokongan kepada keanggotaan Palestin dalam PBB dan mencadangkan agar Majlis Keselamatan mengkaji semula perkara ini dengan baik.
Kami menyokong resolusi ini selepas pertimbangan yang teliti. Ini mencerminkan harapan kami untuk menggalak kedua-dua Israel dan Palestin menyambung semula rundingan terus ke arah penyelesaian dua negara, sedang prospek rundingan sedemikian semakin suram.
Oleh itu, kami memutuskan untuk menyertai masyarakat antarabangsa dalam menyokong resolusi itu, yang turut selaras dengan sokongan lama kami terhadap prinsip undang-undang antarabangsa, dan melaksanakan semua resolusi Majlis Keselamatan yang berkaitan.
Undian kami di Perhimpunan Agung PBB bermakna Singapura secara dasarnya bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin. Kami akan membuat langkah ini pada masa yang sesuai.
Pertimbangan utama kami ialah langkah sedemikian seharusnya membantu kemajuan ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara yang dirundingkan. Khususnya, perlu ada pemerintahan Palestin yang berkesan, yang menerima hak Israel untuk wujud dan secara mutlak menolak keganasan.
Kedua-dua pihak mempunyai hak yang sah, dan kedua-dua rakyat mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan baik dalam sempadan yang selamat.
Kami menggesa kedua-dua pihak untuk mengambil masa untuk mengambil langkah ke arah keamanan yang berpanjangan dan menamatkan penderitaan yang telah berlarutan terlalu lama.
Akhirnya, Israel dan Palestin perlu mengambil tanggungjawab dan perlu bekerjasama untuk memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat mereka.
Memandangkan Singapura adalah kawan kepada kedua-duanya, Singapura akan terus menawarkan galakan dan sokongan kepada kedua-dua rakyat Palestin dan Israel.
Singapura akan meneruskan penglibatan kami dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA). Kami terus melaksanakan Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) $10 juta kami untuk membantu PA membina kapasiti dan bersedia untuk negara akhirnya.
Sehingga kini, kami telah melatih lebih daripada 750 pegawai Palestin dalam bidang seperti diplomasi, pengurusan udara, pembangunan ekonomi dan perancangan bandar. Ini adalah bidang penting yang mana-mana negara perlu mempunyai kepakadran.
Semasa lawatan saya ke Ramallah pada Mac 2024, Perdana Menteri Palestin, Encik Mohammad Mustafa menyampaikan penghargaan atas bantuan teknikal kami dan beliau mendapatkan sokongan pembinaan kapasiti selanjutnya terutamanya dalam latihan perkhidmatan awam dan pendigitalan. Saya mengalu-alukan minatnya.
Sebagai susulan, kursus “Transforming Public Service with the Power of Artificial Intelligence” akan kami anjurkan buat pegawai PA hujung bulan Julai.
Kami juga akan menyediakan biasiswa yang dibiayai sepenuhnya kepada pegawai Palestin untuk melanjutkan pengajian possiswazah di universiti tempatan kami.
Tiga pegawai Palestin telah pun dianugerahkan biasiswa pada 2024, dalam bidang perakaunan, ekonomi politik antarabangsa, dan keselamatan maklumat-komunikasi.
Kami berharap peluang latihan ini akan membantu pegawai PA dengan lebih baik kepada rakyat Palestin, serta melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan apabila ia datang kepada pembinaan semula Gaza akhirnya.
Mengenai soalan khusus Encik Faisal Manap mengenai latihan pegawai Palestin untuk membantu pembinaan semula Gaza, izinkan saya nyatakan Singapura akan menilai cara terbaik kita boleh membantu secara dua hala dan sebahagian daripada usaha pelbagai hala.
Saya kekal berhubung rapat dengan rakan sejawatan saya di timur tengah mengenai isu ini.
Singapura mengambil bahagian dalam Persidangan yang dianjurkan bersama oleh Raja Abdullah II dari Jordan, Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi, dan Setiausaha Agung PBB Encik Antonio Guterres pada 11 Jun untuk mengkaji tindak balas kemanusiaan terhadap Gaza.
Kami bersedia untuk menyumbang, dengan mengambil kira keperluan Gaza dan sumber serta kepakaran kami, selepas pertempuran dihentikan.
Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan harus diberikan untuk mendapatkan gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza dan membebaskan semua tebusan.
“
“Kami menyokong resolusi ini selepas pertimbangan yang teliti. Ini mencerminkan harapan kami untuk menggalak kedua-dua Israel dan Palestin menyambung semula rundingan terus ke arah penyelesaian dua negara, sedang prospek rundingan sedemikian semakin suram.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg