Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael usul percepat peluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat
Israel usul percepat peluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat
Israel usul percepat peluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat
BAITULMAKDIS: Pemerintah Israel dijangka meluluskan peruntukan bernilai ratusan juta dolar dalam beberapa hari lagi bagi mempercepat peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, menjelang pilihan raya negara itu pada musim luruh tahun 2026 ini.
Langkah itu dilihat sebagai antara peluasan terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan bertujuan mengukuhkan cengkaman Israel ke atas wilayah yang selama ini dianggap masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada negara Palestin pada masa depan.
Menurut draf cadangan yang diteliti The New York Times serta seorang pegawai yang mengetahui butiran rancangan itu, pemerintah Israel mahu menempatkan rumah sementara di sekitar 60 lokasi kosong di Tebing Barat.
Jika diluluskan, setiap lokasi akan menerima 15 rumah bergerak atau ‘mobile homes’ serta dua struktur komuniti tambahan yang dibiayai pemerintah.
Langkah itu bertujuan mewujudkan “realiti baharu di lapangan” dan menjadikan perubahan fizikal di wilayah berkenaan sukar dipatahkan sekiranya pemerintah pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, gagal mengekalkan kuasa selepas pilihan raya nanti.
Cadangan itu pada awalnya dijangka diluluskan Kabinet Israel pada 11 Jun, namun kemudian dirujuk kepada kabinet keselamatan lebih kecil yang dijadual bermesyuarat pada 14 Jun ini.
Menurut pegawai berkenaan, pemerintah Israel cuba mengurangkan perhatian antarabangsa terhadap langkah itu dengan mengekalkan proses kelulusan secara tertutup.
Kumpulan aktivis keamanan Israel, Peace Now, menyifatkan tindakan pemerintah itu sebagai usaha terdesak menjelang pilihan raya.
“Pemerintah sedang berlumba secara melulu sebelum pilihan raya untuk menggunakan dana awam bagi mewujudkan fakta di lapangan yang akan meninggalkan dasar bumi hangus kepada pemerintah seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu turut mendakwa jumlah penempatan Yahudi meningkat 80 peratus sejak pemerintah Netanyahu mengambil alih kuasa pada penghujung 2022.
Pemerintah Netanyahu sejak sekian lama memberi tumpuan kepada peluasan penempatan Yahudi di Tebing Barat dengan matlamat menghalang pembentukan negara Palestin.
Sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap penempatan itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Israel bagaimanapun berhujah bahawa Tebing Barat ialah wilayah yang dipertikaikan dan status akhirnya perlu diputuskan menerusi rundingan.
Namun rundingan damai Israel-Palestin sudah terhenti lebih sedekad tanpa sebarang petanda ia akan disambung semula dalam masa terdekat.
Ramai anggota pemerintah berhaluan kanan di Israel kini mahu negara itu mengisytiharkan kedaulatan ke atas sekurang-kurangnya sebahagian Tebing Barat.
Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan, Encik Bezalel Smotrich, yang juga antara tokoh utama gerakan penempatan Yahudi, berkata pemerintah telah melakukan “revolusi” di Tebing Barat.
“Sejak awal penggal kami, kami telah memimpin revolusi di Judea dan Samaria,” katanya di Parlimen Israel, menggunakan nama biblikal bagi Tebing Barat.
“Kami telah meluluskan lebih 100 penempatan baharu, puluhan ribu unit rumah dan tidak kurang 160 ladang baharu,” katanya lagi.
Beliau merujuk kepada ladang kecil yang digunakan peneroka Yahudi untuk menguasai kawasan tanah yang luas menerusi kegiatan pertanian dan penternakan.
Kini lebih setengah juta pendatang haram Israel tinggal di Tebing Barat di tengah-tengah kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Pemerintah Israel sebenarnya sudah meluluskan 60 lokasi baharu itu beberapa bulan lalu, namun proses rasmi perancangan dan kelulusan biasanya memakan masa bertahun-tahun.
Cadangan baharu yang dijadual diputuskan pada 14 Jun ini akan membolehkan pemerintah memintas prosedur biasa bagi mempercepat pembangunan penempatan terbabit.
Langkah itu dibuat ketika keganasan pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat terus meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketika perhatian dunia banyak tertumpu kepada perang di Asia Barat, kumpulan pendatang haram ekstremis didakwa meningkatkan serangan terhadap penduduk Palestin dan harta benda mereka dalam kempen intimidasi yang menyebabkan beberapa kampung Palestin dikosongkan.
Sikap rakyat Israel terhadap Palestin juga dilaporkan semakin keras sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang Gaza.
Walaupun begitu, gabungan pemerintah Netanyahu dilaporkan mula kehilangan sebahagian sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Penganalisis melihat langkah mempercepat peluasan penempatan itu juga bertujuan mengukuhkan sokongan pengundi konservatif dan peneroka Yahudi terhadap gabungan pemerintah berhaluan kanan.
Awal Mei lalu, pemerintah Netanyahu turut meluluskan lebih satu bilion shekel atau sekitar S$436 juta bagi membina jalan yang menghubungkan penempatan baharu itu.
Pemerintah Israel berkata pembinaan jalan tersebut penting untuk pembangunan penempatan serta mengukuhkan kawalan Israel ke atas wilayah Tebing Barat. - Agensi berita
