Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) berkata keberkesanan sistem kiraan 15 mata dan format servis satu-satu yang baru telah dibuktikan di Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia Kuala Lumpur.
Perubahan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan semangat berdaya saing tetapi juga membawa pendekatan yang segar dan dinamik kepada permainan, kata Istaf dalam kenyataannya.
“Kami mengiktiraf dedikasi dan kerja keras para atlet, jurulatih, dan pegawai kami, yang komitmen dan ketabahan mereka memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan ini.
“Persembahan luar biasa dan permainan strategik yang dipaparkan semasa kejohanan telah meningkatkan tahap sepak takraw dan menunjukkan kepada dunia potensi sebenar sukan yang menarik ini,” kata Setiausaha Agung Istaf, Encik Abdul Halim Kader, menerusi kenyataan Istaf pada 5 Jun.
Beliau menambah:
“Istaf kekal komited untuk mempromosikan sepak takraw secara global dan menjadikannya acara yang menonjol dalam sukan antarabangsa. Kejayaan pelaksanaan sistem baru pada kejohanan ini adalah bukti keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dan berinovasi. Kami teruja dengan masa depan dan berharap untuk meningkatkan lagi profil sepak takraw di persada dunia.”
Mulai 1 Februari 2024, pertandingan sepak takraw di semua peringkat dimestikan melaksana sistem kiraan 15 mata yang antara lain membolehkan sesebuah perlawanan berakhir lebih cepat. Sistem baru itu akan menggantikan kiraan 21 mata.
Menurut Istaf dalam laporan Berita Harian sebelum ini, perubahan tersebut juga boleh membantu Istaf mencapai matlamat jangka lebih panjang untuk menampilkan takraw di Sukan Olimpik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg