Satu demi satu dugaan datang menerpa ‘Cik Tina’ (bukan nama sebenar).
Ini setelah suaminya, yang berusia 61 tahun, meninggal dunia akibat serangan jantung pada hujung 2023.
Hanya 10 hari selepas pemergian suami tercinta, Cik Tina dikejutkan pula dengan berita bahawa suaminya didakwa pernah beristeri lagi, dua tahun lalu secara rahsia.
Cik Tina, 55 tahun, menghubungi Berita Harian (BH) untuk berkongsi kisahnya itu setelah membaca laporan khas akhbar ini, tentang ‘Nikah rahsia secara ‘Zoom’ dari Batam’ yang disiarkan pada 7 Julai.
Beliau kemudian mengirimkan e-mel kepada bilik berita dan mendakwa beliau mendapat tahu tentang hubungan sulit arwah suaminya itu dengan seorang wanita hanya setelah suaminya meninggal dunia.
Pasangan itu dikatakan telah bernikah secara ‘Zoom’ dengan menggunakan khidmat kadi di Batam.
Wartawan BH bertemu dengan Cik Tina untuk mendapatkan cerita penuh dan mendengarkan rintihannya.
“Saya belum pernah menceritakan apa yang terjadi kepada saya kepada siapa-siapa kerana ingin menutup aibnya.
“Tetapi saya tertekan, dan masih mencari jawapan kenapa ini terjadi kepada saya. Apa salah saya?” kata Cik Tina.
Menurut Cik Tina, beliau telah berumah tangga dengan suaminya, ‘Encik Khalid’ (bukan nama sebenar) selama lebih kurang 30 tahun, dan pasangan itu telah dikurniakan tiga orang anak.
Beliau menganggap perkahwinannya bahagia dan mendakwa cabaran yang dialaminya dalam alam rumah tangga sama seperti pasangan lain.
“Bergembira, bergaduh dan bermaafan, merupakan inti rumah tangga kami, sama seperti keluarga lain juga,” katanya.
Tanpa diduga, Cik Tina mendakwa suaminya itu bernikah ‘sirri’ atau ‘nikah secara rahsia’ dengan seorang wanita yang dikenalinya.
Sewaktu pernikahan ‘sirri’ itu, Encik Khalid dikatakan sudah tidak lagi bekerja kerana sakit jantung, dan Cik Tina mendakwa beliau yang menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Semua rahsia terbongkar setelah pemergian Encik Khalid.
Cik Tina mendakwa terjumpa gambar-gambar Encik Khalid dengan seorang wanita yang dikenalinya, berpegang tangan, berserta surat nikahnya dari Batam, di dalam komputer.
Difahamkan, wanita itu, Cik Nora (bukan nama sebenar) sudah dua kali bercerai, dakwa Cik Tina.
“Perasaan saya apabila mendapat tahu tentang pernikahan ‘sirri’-nya, seperti ditikam dari belakang. Kerana saya kenali perempuan itu.
“Sebabnya beliau ajar anak-anak saya membaca Al-Quran,” dakwa Cik Tina.
Cik Tina berkata Cik Nora, seorang warga Singapura, mempunyai anak hasil pernikahannya terdahulu, kesemuanya warga negara ini.
Menurut beliau, Cik Nora sebenarnya isteri kepada teman suaminya, yang pada awalnya meminta bantuan Encik Khalid berkaitan isterinya yang kemurungan.
“Arwah suami saya dihormati dan dianggap berilmu oleh rakan sekeliling, jadi tidak hairanlah beliau diminta ‘merawat’ Cik Nora,” jelas Cik Tina.
Cik Tina berkata beliau pernah bertanya kepada suaminya itu tentang Cik Nora, namun dinasihatkan agar tidak “berfikiran yang bukan-bukan”.
“Saya terus periksa pasport suami saya, tetapi tidak ada ‘cop’ luar negara pada hari pernikahan… setelah membuat siasatan, barulah saya tahu ada khidmat menikah melalui Zoom.
“Remuk hati saya ketika itu,” kata Cik Tina yang sedih mengenang nasib yang menimpanya.
Setelah membaca laporan BH mengenai pernikahan melalui Zoom, Cik Tina berkata beliau jatuh sakit dan dibawa ke hospital kerana tekanan darah tinggi.
“Saya terperanjat dengan segala yang berlaku,” jelasnya.
Cik Tina cuba menghubungi Cik Nora untuk mendapatkan jawapan tetapi wanita itu seperti ‘melarikan’ diri dan tidak dapat dihubungi sejak pemergian suaminya.
Bak sudah jatuh ditimpa tangga.
Tidak lama selepas itu, Cik Tina berkata beliau disahkan menghidap barah buah dada peringkat tiga dan telah menjalani rawatan kemoterapi.
“Saya masih mencari jawapan kenapa ini semua berlaku kepada saya. Saya rasa ditipu bulat-bulat dan masih dalam keadaan tidak percaya.
“Hidup saya tidak tenang kerana arwah pergi dengan membawa rahsia ini ke liang lahad. Terlalu banyak soalan di benak fikiran saya.
“Bukti-bukti yang saya jumpa amat menyakitkan hati saya,” jelas Cik Tina yang masih bekerja sepenuh masa untuk menyara kehidupan keluarga.
Cik Tina berkata beliau tidak dapat berkongsi cerita ini dengan sesiapa untuk menutup aib suami yang dianggap “orang baik-baik” dalam kalangan teman dan keluarganya.
“Hanya anak-anak saya yang tahu hal sebenar. Mereka pun tidak mahu saya terus mencari bukti-bukti lain yang bakal menyakitkan hati saya.
“Sukar menerima hakikat hati ini dikhianati, sekarang saya seorang diri dalam keadaan hati yang terluka…”
Cik Tina mendakwa beliau kemudian menghubungi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan berhubung nikah ‘sirri’ itu.
Ini kerana beliau ingin tahu tentang hukum faraid sewaktu pembahagian wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) arwah suaminya.
“Saya tidak mahu dituntut kelak. Kalau dia isteri yang sah, dia berhak menerima sebahagian daripada wang peninggalannya, jadi saya perlu bertanya tentang kesahihan pernikahan itu…
“Anak-anak cuba sejukkan hati saya, walaupun saya masih tidak tahu akan nasib saya yang sebenarnya…”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg