Isteri kepada mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Ahmad Mohamed Mattar, Cik Rugaiyah Shaikh Abubakar Mattar, 76 tahun, meninggal dunia pada pagi 4 Mei 2025 – 11 hari selepas dirawat di Hospital Besar Changi.
Sijil kematian Allahyarhamha yang dilihat Berita Harian (BH) menyatakan beliau meninggal dunia akibat pneumonia, atau radang paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas.
Bercakap kepada wartawan, anak saudaranya, Encik Muhammad Syaheer Noorhalim, 36 tahun, berkata beliau tidak sangka mak ciknya, yang dikenali dengan gelaran mesra dalam kalangan keluarga sebagai Alati Gayah, telah meninggal.
Dr Mattar dipanggil dengan gelaran Ami Seh – istilah mesra yang digunakan dalam keluarganya.
Encik Syaheer berkata: “Beliau seorang yang ikhlas dan penyabar; diingati sebagai seorang yang sentiasa ada untuk keluarga, dalam setiap majlis dan setiap hari istimewa anak-anak buahnya.
“Beliau tidak pernah lokek dengan senyuman dan suka dengan kebersihan.”
Atas permintaan, Dr Ahmad Mattar tidak memberi sebarang ulasan.
Solat jenazah ke atas Allahyarhamha berlangsung di Masjid Ba’alwie di Lewis Road selepas asar.
Antara yang hadir termasuk Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; serta Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Dalam satu hantaran di Facebook, Encik Masagos menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Ahmad Mattar dan keluarganya, serta mendoakan semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamha, menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman; dan keluarga Allahyarhamha diberikan ketabahan dalam waktu sukar itu.
Encik Zaqy, yang hadir bersama isterinya, berkata arwah seorang yang sangat baik hati.
“Dr Ahmad Mattar ialah seorang rakan baik dan kami rapat dengan beliau dan isterinya. Arwah seseorang yang sangat menyokong suaminya dan beliau juga seorang yang mempunyai jenaka istimewa yang mencuit hati,” ujar Encik Zaqy semasa ditemui di Masjid Ba’alwie.
Dalam hantarannya di Facebook pula, beliau menambah:
“Beliau (Allahyarhamha) seorang yang tenang dan bersahaja. Bagi yang mengenalinya, beliau memiliki keperibadian yang bijak dan berwibawa; teman setia yang menjadi kekuatan buat Dr Ahmad Mattar sepanjang kehidupannya.”
Turut hadir memberi ucapan takziah ialah mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Abdullah Tarmugi; mantan Menteri Negara Kanan, Encik Sidek Sanif; mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed; dan mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Yatiman Yusof.
Bercakap dengan BH, Encik Abdullah berkata beliau mengenali Dr Ahmad Mattar dan isterinya sejak 1980-an.
“Kami kerap berjumpa dan saya terasa kehilangan arwah,” ujar Encik Tarmugi.
Encik Zainul berkata peranan Dr Ahmad Mattar ketika menjadi menteri penuh dengan cabaran, dengan arwah isterinya memainkan peranan menjadi penyokong kuat beliau.
Pada 2018, Dr Ahmad Mattar dan Allahyarhamha Rugaiyah telah memperbaharui ikrar kasih mereka — sesuatu yang penuh makna dan menggambarkan keutuhan cinta dan kesetiaan mereka sebagai suami isteri selama lebih lima dekad – dalam Majlis Sambutan Perkahwinan Jubli Emas yang diadakan di Istana pada 17 Mac 2018.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg