Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Istilah ‘Global Selatan’ boleh jadi tonggak penyatuan dalam kesusasteraan Asia Tenggara

Junjung karya serantau langkaui sempadan tempa nama peringkat antarabangsa
Sep 10, 2025 | 7:43 PM
Zhulkarnain Abdul Rahim, Mastera, MBMS
Semasa berucap di majlis perasmian Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2025 di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB) pada 10 September, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menyambut baik usaha menterjemahkan sastera Melayu agar lebih difahami pembaca luar. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bahasa dan sastera Asia Tenggara harus terus berkembang seiring dengan kemajuan dunia.

Ini boleh dicapai dengan mengangkat tema sastera ‘Global Selatan’ yang mampu menjunjung karya rantau ini agar melangkaui sempadan dan menempa nama di peringkat antarabangsa, kata Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

“Istilah Global Selatan mungkin terbentuk daripada segi geopolitik dan ekonomi yang berbaur ketidaksamarataan, daripada pembangunan dalam negara-negara membangun.

“Namun, apabila digunakan dalam kesusasteraan, ia boleh menjadi tonggak penyatuan kita demi menangkis hegemoni nilai-nilai yang bercanggah dengan nilai-nilai kita,” jelas beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang.

Encik Zhulkarnain, yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026, berkata demikian semasa majlis perasmian Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2025.

Acara itu diadakan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB) pada 10 September.

Majlis perasmian tersebut diadakan sempena Mastera 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 12 September.

Ia dijalankan untuk menghargai dan mengangkat perkembangan kesusasteraan Melayu dan Indonesia, serta mengiktiraf usaha Mastera yang telah dijalankan sejak 1995.

Ini merupakan kali ketiga Singapura tampil selaku tuan rumah Mastera.

Sebelum ini, Singapura pernah menjadi tuan rumah pada 2015 dan 2019.

Bertemakan ‘Sastera Global Selatan – Ke Arah Pensejagatan Kemanusiaan’, Encik Zhulkarnain turut menekankan bahawa Singapura boleh memanfaatkan konsep tersebut untuk berkongsi pengalaman bersama negara-negara Mastera kerana “berkongsi satu sejarah yang agak sama serumpun”.

“Kita boleh menggunakan secara kolektif pengalaman kita, bagaimana kita memperkembangkan penggunaan bahasa kita di negara-negara kita masing-masing dengan cara kita tersendiri, tetapi bukan dengan cara memecahbelahkan.

“(Ia dengan) memberikan peluang bagi belia-belia kita untuk berkongsi pendapat, karya, dan kreativiti mereka dan ini juga boleh melebarkan lagi jangkauan kita untuk memperkayakan sektor kesusasteraan di Nusantara,” jelas beliau ketika ditemui Berita Harian (BH) di majlis tersebut.

Seramai 60 orang hadir bagi majlis perasmian tersebut, dengan Encik Zhulkarnain selaku tetamu terhormat, dan Pengerusi Mastera Singapura dan Naib Pengerusi MBMS, Dr Azhar Ibrahim.

Sempena Singapura menjadi tuan rumah Mastera pada 2025, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (Sakat) turut diadakan.

Seminar itu menghimpunkan 50 penggiat sastera Melayu dari empat negara – Singapura, Malaysia, Indonesia, dan Brunei.

Edisi ke-29 Sakat turut membincangkan dan mengetengahkan perkembangan dan kesan gerakan sastera dunia selatan dalam konteks sejagat.

Mengulas tentang seminar tersebut, Dr Azhar berkata ia memberikan peluang kepada penggiat sastera tempatan, termasuk sasterawan dan pelajar, mendengar pemakalah dari rantau serta menilai kedudukan mereka sendiri.

“Saya fikir yang sangat penting dalam semua bentuk seminar, ia membenarkan khalayak tempatan kita, sasterawan kita, para pelajar kita, para pendukung sasterawan kita mendengar pemakalah-pemakalah dari rantau.

“Seminar dan forum seperti ini adalah satu proses kita belajar dan apa yang paling penting adalah meninggalkan pelajaran lalu (unlearn) dan belajar semula (relearn),” kongsi beliau, yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura.

Acara kemuncak majlis perasmian itu adalah penyampaian Hadiah Terjemahan Mastera 2025.

Dianjurkan oleh MBMS, pertandingan terjemahan itu diadakan sebagai sebahagian usaha mereka untuk menggalakkan terjemahan karya Melayu dan Indonesia ke bahasa Inggeris.

Penyampaian tersebut menampilkan setiap pemenang dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei menerima hadiah wang tunai sejumlah $3,000 dan trofi.

Pemenang Hadiah Terjemahan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2025, Cik Fathiah Jamal (tengah), menerima anugerah tersebut daripada Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan), dan Pengerusi Mastera Singapura dan Naib Pengerusi MBMS, Dr Azhar Ibrahim, semasa majlis perasmian Mastera 2025 yang diadakan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB) pada 10 September.
Pemenang Hadiah Terjemahan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2025, Cik Fathiah Jamal (tengah), menerima anugerah tersebut daripada Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan), dan Pengerusi Mastera Singapura dan Naib Pengerusi MBMS, Dr Azhar Ibrahim, semasa majlis perasmian Mastera 2025 yang diadakan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB) pada 10 September. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pemenang dari Singapura, Cik Fathiah Jamal, menterjemahkan cerpen, Koperal 228, tulisan Encik Jamal Ismail.

Berkongsi kepada BH, Cik Fathiah, seorang pengurus pusat tuisyen, berkata:

“Kemenangan ini memberikan saya semangat dan keyakinan untuk terus menterjemahkan karya-karya hebat sastera Melayu agar dapat dikongsi dan difahami oleh pembaca bukan Melayu.

“Ia bukan hanya dalam konteks pertandingan, bahkan juga pada skala yang lebih luas.”

“Istilah Global Selatan mungkin terbentuk daripada segi geopolitik dan ekonomi yang berbaur ketidaksamarataan, daripada pembangunan dalam negara-negara membangun. Namun, apabila digunakan dalam kesusasteraan, ia boleh menjadi tonggak penyatuan kita demi menangkis hegemoni nilai-nilai yang bercanggah dengan nilai-nilai kita.”
Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg