Lantunan puisi merupakan antara kegiatan menghiasi majlis perasmian Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2025 pada 10 September.
Bertemakan Sastera Global Selatan – Ke Arah Mensejagat Kemanusiaan, sekitar 60 hadirin berpeluang menikmati pelbagai acara kebudayaan dan sastera semasa majlis perasmian tersebut.
Ini termasuk persembahan tarian oleh kumpulan tarian Melayu tempatan, Dian Dancers, dan penyampaian dari tokoh kesusasteraan Melayu Singapura, Encik Hamed Ismail.
Khususnya, penyampaian beliau mengupas tentang usaha sasterawan Nusantara dalam mengatasi ideologi penjajahan melalui sastera.
Selain itu, para hadirin juga berpeluang menyaksikan penyampaian anugerah dalam bentuk Hadiah Terjemahan Mastera, yang meraikan usaha menterjemah karya sastera asal yang ditulis dalam bahasa Melayu atau Indonesia.
Mastera 2025 diadakan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB), sebahagian daripada program Mastera yang berlangsung selama empat hari, dari 9 hingga 12 September.
Acara turut menjadi wadah bagi pertukaran karya sastera yang menghimpunkan penulis, pelajar dan penggiat sastera dari rantau Asia Tenggara.
Mastera ialah sebuah pertubuhan bahasa serantau yang ditubuhkan untuk melestari pembangunan bahasa dan kesusasteraan Melayu/Indonesia di rantau Asia Tenggara.
Sempena Singapura menjadi tuan rumah Mastera 2025, Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (Sakat) turut diadakan pada 9 dan 10 September di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB).
Ini merupakan kali ketiga Singapura tampil selaku tuan rumah Mastera, selepas 2015 dan 2019.
Seminar itu menghimpunkan seramai 50 penggiat sastera Melayu dari empat negara – Singapura, Malaysia, Indonesia, dan Brunei – untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan karya masing-masing.
Bagi dua hari terakhir program Mastera 2025 itu, Sidang Mastera ke-29 akan diadakan secara tertutup, khusus untuk wakil agensi kesusasteraan kebangsaan daripada negara-negara anggota Mastera sahaja pada 11 dan 12 September.
Persidangan Mastera yang pertama telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur pada 12 Ogos 1996.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Singapura, yang telah menjadi Pemerhati sejak penubuhan Mastera, telah menjadi anggota rasmi Mastera pada 2012.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg