Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu gaji tertunggak: Bekas kakitangan Ilham Child Care sudah terima bayaran
Pembayaran lebih awal daripada tarikh dijanjikan pihak pengurusan sebelum ini
Isu gaji tertunggak: Bekas kakitangan Ilham Child Care sudah terima bayaran
Beberapa bekas kakitangan pusat jagaan kanak-kanak Ilham Child Care dilaporkan sudah menerima pembayaran penuh gaji yang terhutang kepada mereka.
Berita Harian (BH) difahamkan sekitar 14 individu telah menerima gaji bagi Oktober 2026 yang tertunggak itu pada 17 November.
Ini lebih awal daripada tarikh selewat-lewatnya pada 25 November seperti yang dinyatakan pihak pengurusan sebelum ini. Gaji itu sepatutnya dibayar pada 5 November.
Seorang bekas kakitangan Ilham Child Care, Cik Siti (bukan nama sebenar), memberitahu BH pembayaran gaji penuh bagi Oktober lalu telah diterima pada 17 November.
Ini melegakan mereka yang sebelum ini terjejas dengan penangguhan pembayaran beberapa kali.
“Sejujurnya, saya berasa lega dan bersyukur kerana bayaran akhirnya telah diterima.
“Proses ini merupakan satu pengalaman yang memberi tekanan bagi semua pihak. Setelah dapat pembayaran daripada hasil titik peluh kami, baru rasa tenang sedikit.
“Saya berharap pada masa akan datang, semua kakitangan akan dilayan dengan adil dan kelewatan sebegini tidak akan berulang lagi,“ kata Cik Siti.
Semasa masih bekerja dengan syarikat itu, beliau juga pernah terjejas dengan penangguhan gaji sebelum ini.
Menurut Cik Siti juga, terdapat sekitar 14 orang yang terjejas dengan kelewatan pembayaran gaji ini dan kesemuanya telah dibayar pada 17 November.
BH telah menghubungi Ilham Global pada 19 November bagi mendapatkan pengesahan rasmi serta ulasan lanjut berhubung perkembangan tersebut.
Sebelum ini, BH melaporkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat Ilham Global berhubung kemungkinan kesalahan tidak membayar gaji di bawah Akta Pekerjaan, menyusuli maklum balas mengenai kelewatan pembayaran gaji pada Jun, September dan Oktober 2026.
Tiga memo dalaman syarikat bertarikh 5 Jun, 5 September dan 5 November yang dilihat BH sebelum ini mengesahkan terdapat penangguhan pembayaran gaji sedang syarikat itu menghadapi cabaran aliran tunai berikutan kemerosotan pendaftaran murid serta penutupan pusatnya di Primz Bizhub di Woodlands Close pada 6 Ogos lalu.
Dalam notis bertarikh 5 November lalu, syarikat itu memaklumkan gaji bagi Oktober tidak dapat dilunaskan pada tarikh pembayaran gaji yang dijadualkan, iaitu 5 November, dan memberi jaminan ia akan dilunaskan selewat-lewatnya pada 25 November.
Sementara itu, Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) sebelum ini mengesahkan pihaknya sedang memantau operasi dua baki cawangan Ilham Child Care – di TradeHub 21 di Boon Lay Way dan Focus One di Ubi – selain mengarahkan pengendali itu memulangkan yuran dan deposit yang belum dijelaskan kepada ibu bapa yang terjejas akibat penutupan cawangan Woodlands.
BH juga telah menghubungi MOM pada 19 November bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai isu berkenaan.
Di bawah Akta Pekerjaan Singapura, majikan diwajibkan membayar gaji pekerja dalam tempoh tujuh hari selepas berakhirnya tempoh gaji yang ditetapkan.