Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu keracunan makanan KL: Gardenia tegas operasi di S’pura, M’sia berasingan
Isu keracunan makanan KL: Gardenia tegas operasi di S’pura, M’sia berasingan
Pejabat Gardenia di Singapura menjelaskan struktur pengilangan dan operasinya di sini berasingan daripada operasi di Malaysia, susulan aduan mengenai dakwaan keracunan makanan melibatkan produk roti Gardenia di Kuala Lumpur.
Menurut syarikat itu, meskipun pengeluaran roti Gardenia Foods (S) dipindahkan ke Johor Bahru pada awal 2026, kilang yang menghasilkan produk utama terpilih untuk pasaran Singapura mempunyai struktur pengurusan, pengeluaran dan kawalan mutu yang berasingan daripada Gardenia Bakeries KL (GBKL).
“Kedua-dua operasi diuruskan secara berasingan, masing-masing dengan perancangan pengeluaran, kawalan operasi dan sistem pengesanan produk yang ketat,” kata syarikat itu pada 10 November.
Kementerian Kesihatan Malaysia berkata pada 8 November pihaknya masih menunggu keputusan analisis makmal terhadap produk terjejas dan akan menjalankan pemeriksaan susulan di kilang GBKL di Kuala Lumpur bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983.
Kementerian itu berkata siasatan awal sedang dijalankan terhadap aduan di media sosial dan laporan media mengenai dakwaan keracunan makanan selepas memakan produk Gardenia, khususnya Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.
Pada 20 Mei, Gardenia Foods (S) mengumumkan pemindahan pengeluaran rotinya ke Johor Bahru, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk “meningkatkan kecekapan operasi dan mengekalkan daya saing dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar”.
Akibat langkah itu, seramai 141 pekerja diberhentikan kerja.
Bagaimanapun, kilang di Pandan Loop, Singapura, akan kekal sebagai ibu pejabat syarikat, menyelia pengurusan jenama, pembangunan produk, pengedaran harian dan operasi rantaian bekalan.