Pelanggan The Meat Brothers Pte Ltd (TMB) yang terjejas akibat haiwan korban yang tidak dapat dihantar dari Australia bagi ibadah korban secara langsung di sini belum dikembalikan wang mereka, lebih dua minggu selepas Aidiladha pada 27 Mei, namun TMB memberitahu Berita Harian (BH) bahawa mereka akan mendapatkan semula wang mereka selewat-lewatnya awal Ogos.

Bercakap dengan BH pada 14 Jun, pengasas bersama syarikat itu, Ustaz Muhammmad Imran Khan Ab Azis Khan, berkata pihaknya juga sudah mula memproses pemulangan wang bagi sekitar 400 sohibul korban yang terjejas dan menghubungi mereka.

“Kami melakukan semua proses ini secara sendirian jadi proses pemulangan bayaran ini akan mengambil sedikit masa,” ujarnya.

Sebelum ini dalam satu hantaran Facebook TMB pada 23 Mei, TMB menawarkan tiga pilihan alternatif kepada mereka yang terjejas.

Terdapat tiga pilihan disediakan, iaitu ibadah korban dijalankan di Australia dengan daging dihantar terus kepada sohibul korban; korban dilaksanakan di Medan, Indonesia, melalui rakan kongsi yang dipercayai dengan daging diagihkan kepada asnaf serta masyarakat tempatan; atau wang mereka dipulangkan sepenuhnya.

Daripada 400 individu yang terjejas itu, Ustaz Imran berkata sekitar 350 tidak meneruskan hajat untuk melaksanakan korban bersama TMB dan wang yang dibayar akan dikembalikan sepenuhnya.

Menurut pengiraan BH, ini dianggarkan melibatkan jumlah hampir $230,000, berdasarkan harga yang dikenakan TMB iaitu $655 bagi setiap domba.

Baki 50 individu yang terjejas pula memilih untuk melakukan korban di Medan.

Bagi golongan ini, Ustaz Imran berkata TMB juga akan memulangkan sebahagian wang yang telah mereka bayar kerana tidak dapat menjalankan ibadah korban secara langsung di Singapura dengan haiwan korban dari Australia yang ditempah mereka.

Ustaz Imran hadir semasa satu acara pengagihan nasi beriani anjuran TMB di Blok 536 Bedok North Street 3 pada 14 Jun.

Selain di Bedok North, nasi beriani lembu dan kambing juga diagihkan oleh TMB kepada Muhammadiyah, Pertapis serta Masjid Al-Firdaus dan Masjid Pusara Aman, yang merupakan antara masjid yang terjejas dek haiwan korban yang tidak dapat dibawa ke Singapura oleh TMB bagi ibadah korban secara langsung di masjid itu.

Menurut Ustaz Imran, pengagihan itu bukan sahaja usaha menyumbang kembali kepada masyarakat dan meraikan Awal Muharam yang bakal tiba, bahkan ia juga satu tanda penghargaan dan permohonan maaf kepada pihak berkepentingan yang terjejas.

Beliau juga menambah bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan, termasuk penilaian oleh pihak luar.

Beliau berkata TMB telah membelanjakan kira-kira $200,000 bagi persiapan korban secara langsung di sini. Ini termasuk kos mesin yang diperlukan, pembinaan kandang dan lain-lain.

Tambahnya, TMB juga akan menilai langkah selanjutnya setelah hasil siasatan dalaman selesai, yang menurut Ustaz Imran akan mengambil masa beberapa bulan.