Topik diikuti
Pergi ke BHku400 haiwan korban tidak sempat dibawa masuk, empat masjid terjejas
400 haiwan korban tidak sempat dibawa masuk, empat masjid terjejas
400 haiwan korban tidak sempat dibawa masuk, empat masjid terjejas
Sekitar 400 haiwan korban dari Australia yang dikendalikan syarikat pengendali korban, The Meat Brothers Pte Ltd, tidak akan sempat dihantar ke Singapura menjelang Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei.
Dalam kemas kini pada 23 Mei, syarikat itu berkata ia masih belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Australia.
“Meskipun telah melakukan yang terbaik untuk memastikan haiwan ternakan akan tiba di Singapura untuk ibadah korban, kami masih belum menerima kelulusan eksport yang diperlukan daripada pihak berkuasa Australia.
“Memandangkan situasi ini, kian jelas ternakan itu tidak akan memasuki Singapura tepat pada masanya.
“Kami meminta maaf atas semua kekurangan kami,” kata syarikat itu di media sosial.
Individu yang telah menempah korban dengan syarikat itu akan diberi beberapa pilihan: lakukan korban di Australia dengan daging dihantar kepada mereka; korban di Medan, Indonesia, dengan daging yang diagihkan kepada asnaf dan masyarakat di sana; atau pembayaran yang dipulangkan sepenuhnya.
Syarikat itu akan menghubungi semua individu yang menempah korban dengan mereka. Golongan terjejas juga boleh menghubungi mereka menerusi WhatsApp di 80104116, atau e-mel di themeatbrotherspteltd@gmail.com.
Menurut kenyataan Muis pada 23 Mei, kegenjotan itu akan menjejas korban di empat masjid iaitu Masjid Al-Firdaus, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Pusara Aman, dan sebahagian daripada bekalan haiwan korban di Masjid Jamae Chulia.
“Muis memahami kekecewaan dan kebimbangan yang dialami oleh sohibul korban (individu yang membuat korban) yang terjejas. Kami menghargai penglibatan berterusan The Meat Brothers dengan sohibul korban yang terjejas dan usahanya untuk melaksanakan pengaturan kontingensi, termasuk bayaran balik dan pilihan korban alternatif,” kata Muis
Dalam kenyataannya pada 21 Mei, Muis berkata baki perkhidmatan korban tempatan oleh pengendali korban berlesen lain yang dilantik di Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah, dan Masjid Tentera Diraja akan diteruskan seperti yang dirancang pada Hari Raya Aidiladha.
Korban di ketiga-tiga masjid itu dikendalikan oleh sebuah lagi syarikat pengendali korban, Aliyah Rizq Farm.
Dalam kemas kini sebelum ini pada 23 Mei, The Meat Brothers, berkata pembekal haiwannya di Australia sedang mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa di sana berkenaan permit eksport yang belum diluluskan.
Syarikat itu berkata berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pembekalnya, Alqudsi Agri Group, Australia (ALQ Aust), semua dokumentasi dan prosedur berkaitan penghantaran haiwan itu telah dikemukakan sewajarnya.
Syarikat pembekal itu telah menghantar permohonan kepada Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan (DAFF) Australia pada 5 Mei 2026.
Namun, hingga 23 Mei pihak tersebut belum menerima dokumen sokongan yang diperlukan untuk kelulusan.
Wakil daripada ALQ Australia and pihak pengeksport NACC juga telah ke pejabat DAFF di Canberra untuk mengemukakan rayuan secara langsung dengan pihak berkuasa di sana.
Rakan kerja The Meat Brothers di Australia juga telah berusaha mendapatkan bantuan ABL Pty Ltd, satu-satunya pengeksport ternakan haiwan yang diluluskan untuk menghantar ternakan ke Singapura, untuk menghuraikan isu tersebut.
“The Meat Brothers memahami kepentingan keagamaan ibadah korban dan amat menyedari kekecewaan, kebimbangan dan rasa cemas yang dialami sohibul korban, rakan kerja masjid serta masyarakat Islam yang lebih luas di Singapura susulan kelewatan ketibaan ternakan.
“The Meat Brothers kekal komited terhadap ketelusan, kebertanggungjawaban dan amanah dalam semua aspek proses ini.
“Kami akan terus memberikan maklumat terkini yang disahkan kepada Muis (Majlis Ugama Islam Singapura), masjid yang terjejas dan sohibul korban apabila maklumat lanjut tersedia,” kata syarikat itu.
