Kesemua peranti yang terjejas oleh gangguan dan insiden keselamatan siber terhadap aplikasi Mobile Guardian, akan diperbaiki selewat-lewatnya 16 Ogos ini, dengan keutamaan ditumpukan ke atas pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan ‘N’ pada 2024, kata Kementerian Pendidikan (MOE).
“Kami menyasarkan untuk menangani baki peranti yang terjejas menjelang akhir minggu depan,” kata MOE dalam jawapannya kepada soalan The Straits Times.
MOE berkata ia bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memulihkan peranti terjejas kepada penggunaan biasa.
Ia juga telah mengerahkan jurutera tambahan teknologi maklumat (IT) ke sekolah untuk membantu memulihkan peranti mereka dan menyediakan panduan bagi membimbing pelajar yang ingin menyelesaikan sendiri masalah peranti mereka.
Mobile Guardian ialah aplikasi pengurusan peranti yang membantu ibu bapa mengurus penggunaan peranti anak mereka, dengan mengehadkan masa skrin dan akses kepada laman web dan aplikasi tertentu.
MOE berkata ia telah dimaklumkan oleh beberapa sekolah pada lewat malam pada 4 Ogos bahawa sesetengah pelajar yang menggunakan iPad atau Chromebook tidak dapat mengakses aplikasi dan maklumat yang mereka simpan dalam peranti mereka.
Pelajar terjejas tidak dapat mengakses semua aplikasi dan maklumat yang tersimpan dalam peranti mereka kerana telah dipadamkan secara maya. Malah, ada yang kehilangan nota pelajaran yang telah mereka simpan bertahun-tahun.
Siasatan Mobile Guardian mendapati terdapat insiden keselamatan siber yang melibatkan akses tanpa kebenaran ke atas platformnya yang menjejaskan pelanggan di seluruh dunia.
Serangan siber itu menjejas kira-kira 13,000 pelajar daripada 26 sekolah menengah di sini.
Insiden keselamatan pada 4 Ogos itu berasingan daripada isu teknikal yang dihadapi pelajar seawal 30 Julai, yang disebabkan oleh kesilapan manusia dalam konfigurasi oleh Mobile Guardian.
Pelajar melaporkan masalah dalam menyambung ke Wi-Fi, mengakses nota dan menghidupkan atau mematikan iPad mereka.
Pada 5 Ogos, MOE mengumumkan bahawa aplikasi Mobile Guardian akan dialih keluar daripada semua peranti pembelajaran peribadi (PLD) pelajar sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sehingga kini, kami telah dapat memulihkan sepenuhnya maklumat pada peranti yang telah dibuat salinan pada storan awan,” kata MOE.
“Terdapat sebahagian kecil peranti yang maklumatnya tersimpan tidak dibuat salinan dan tidak boleh didapatkan semula,” tambah MOE.
MOE bekerjasama dengan sekolah untuk menyediakan sokongan tambahan kepada pelajar serupa ini, termasuk menyediakan sumber salinan cetak dan menggalakkan pelajar berkongsi nota mereka dengan rakan yang terjejas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg