Isu teknikal didapati punca gangguan telekomunikasi syarikat Singtel pada 8 Oktober.
Ia menjejas talian tetap kecemasan 999 dan 995, kata Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.
Beliau berkata berdasarkan dapatan awal Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), isu teknikal itu menjejas fungsi komponen rangkaian salah satu daripada dua sistem yang menyokong perkhidmatan suara talian tetap Singtel.
Kedua-dua sistem itu, direka untuk segera mengambil alih beban penuh yang lain apabila satu sistem tidak berfungsi, katanya.
“Dalam kes ini, peralihan beban (kepada komponen lain) ini tidak berlaku secara lancar, menyebabkan gangguan perkhidmatan yang terputus-putus,” katanya.
Beliau menambah, semua perkhidmatan pulih dalam tempoh empat jam selepas insiden tersebut bermula.
Dr Janil berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lima Anggota Parlimen (AP) mengenai gangguan tersebut di Parlimen pada 11 November.
Kejadian pada 8 Oktober melibatkan Singtel menjejas panggilan kepada perkhidmatan kecemasan, institusi jagaan kesihatan, bank dan perniagaan selama berjam-jam.
Singtel menyatakan gangguan pada talian tetap adalah “insiden terpencil”.
Dr Janil memberi penekanan bahawa tiada bukti kejadian tersebut “terkait dengan sabotaj atau serangan siber”.
Beliau menambah IMDA memandang serius piawaian perkhidmatan tinggi yang dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan utama seperti Singtel dan memerlukan penyedia sedemikian “menjalankan audit tetap pada rangkaian dan prasarana” telekomunikasi.
Ini termasuk memastikan keselamatan reka bentuk rangkaian, langkah kelewahan dan pelan kesinambungan perniagaan, ujarnya.
Beliau menjelaskan: “Penyedia perkhidmatan juga mesti memastikan rangkaian (telekomunikasi) berdaya tahan terhadap gangguan.
“IMDA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Telekomunikasi, termasuk mengenakan penalti kewangan sekiranya ia mengenal pasti sebarang kesilapan.
“IMDA sedang bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap ketersediaan talian kecemasan apabila gangguan berlaku.”
Di samping itu, beliau berkata terdapat tahap kelewahan (redundancy levels) tertentu yang telah diterapkan dalam rangkaian telekomunikasi di sini bagi memastikan prasarana telekomunikasi Singapura kekal berdaya tahan.
Hal sedemikian khususnya tertumpu pada prasarana telekomunikasi bagi perkhidmatan genting, seperti talian perkhidmatan kecemasan, ujarnya.
Beliau membuat kenyataan sedemikian sebagai respons kepada soalan susulan Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) di Parlimen pada 11 November.
Dr Tan mengajukan pertanyaan berkenaan tahap kebolehpercayaan tinggi terhadap syarikat telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan genting kekal berterusan.
Dr Janil menjawab terdapat kelewahan dalaman yang telah diterapkan dan Singapura “mempunyai daya tahan dengan adanya lebih daripada satu rangkaian (penyedia telekomunikasi)”.
Dalam pada itu, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, sebagai menjawab soalan Dr Tan, menyatakan bahawa tiada maklum balas oleh masyarakat awam disebabkan kegagalan pihak SCDF atau polis bertindak terhadap sebarang insiden mendesak atau mengancam nyawa akibat gangguan itu.
Menjawab pertanyaan susulan Cik Hazel Poa, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Sun turut berkata SCDF dan polis telah menggesa orang ramai supaya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui talian 70995 (SCDF) dan 70999 (polis).
Cik Poa mengajukan pertanyaan berhubung jumlah individu yang menggunakan nombor SMS alternatif itu untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan sedemikian, dan mengenai kesedaran orang ramai tentang nombor alternatif itu.
Cik Sun berkata beliau tidak mempunyai bilangan individu yang tertentu dan talian SMS itu “bukan baru”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg