Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mudahkan proses VEP agar pemandu S’pura mudah masuk Johor

Sep 29, 2024 | 5:30 AM
VEP
Pemandu sedang beratur menunggu giliran mereka di pejabat MY VEP di Woodlands. - Foto ST

Sebilangan warga Singapura kian resah sedang tarikh pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang memasuki Malaysia dari Singapura semakin hampir, lebih tepat pada Selasa, 1 Oktober.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata peraturan itu akan dikuatkuasakan bagi kenderaan asing yang merentasi Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB) di Linkedua Malaysia-Singapura.

Mereka yang tidak mempunyai VEP sah boleh dinafikan kemasukan ke Malaysia, atau didenda sehingga RM2,000 ($620).

Justeru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia menggesa semua pemilik kenderaan warga asing supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag VEP mereka bagi mengelak sebarang kesulitan ketika memasuki dan keluar dari Malaysia mulai tarikh tersebut.

VEP berfungsi seperti “kad pengenalan” bagi kenderaan dari luar negara yang memasuki Malaysia.

Antara lain, ia akan membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengesan rekod trafik kenderaan dari luar negara, termasuk saman tertunggak dan kesalahan trafik.

Encik Loke menambah, sejak pengumuman pendaftaran dan pelaksanaan VEP itu pada lewat Mei lalu, pendaftaran mendapatkan VEP itu telah meningkat berkali ganda.

Menurutnya, kerajaan Malaysia sudah mengarahkan syarikat vendor VEP supaya mengambil lebih ramai kakitangan, selain melanjutkan masa operasi harian, susulan peningkatan mendadak permohonan VEP itu.

Namun, sejak beberapa bulan lalu selalu kita baca melalui laporan media dan catatan media sosial menyatakan ramai individu menghadapi masalah dalam pendaftaran VEP mereka.

Antaranya, pemohon masih tidak mengetahui status pendaftaran mereka; dokumen yang disertakan dikatakan tidak memenuhi keperluan permohonan; dan isu berkaitan pendaftaran VEP bagi kereta terpakai.

Akibatnya, terdapat barisan panjang di pejabat TCSens di Danga Bay (vendor VEP) hampir setiap hari oleh warga Singapura yang ke sana untuk cuba menyelesaikan pelbagai isu berkaitan VEP.

Kemudian, pejabat MY VEP ditempatkan di Woodlands pada 19 Ogos bagi membolehkan warga Singapura yang menghadapi masalah dengan permohonan VEP mereka mendapatkan bantuan.

Namun lawatan ke pejabat Woodlands kini hanya melalui janji temu sahaja.

Dalam kalangan kenalan, ada yang mendedahkan mereka tidak mahu lagi memohon VEP setelah membaca kesukaran dalam proses pendaftaran. Malah, mereka telah mula mencari cara lain memasuki Johor Bahru (JB), jika perlu, dengan menggunakan pengangkutan lain termasuk bas dan kereta api.

Ada pula yang mempunyai masalah mendaftar kereta terpakai – yang sebelum ini telah mempunyai VEP yang didaftarkan sebelum wabak Covid-19 menggunakan nama pemilik lama – dan kini menghadapi jalan buntu dalam proses pendaftaran.

Saya pula, sehari dua selepas pengumuman dibuat pendaftaran VEP dibuat, cuba mendaftar di laman JPJ namun mendapati laman itu ‘tergantung’, dan sejak itu minat mahu memohon VEP terus berkurangan setelah membaca banyak masalah dialami pemandu lain.

Saya dan beberapa kenalan juga telah mencuba cara lain memasuki JB, antaranya menggunakan bas awam, dengan saya sendiri menggunakan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Shuttle Tebrau Johor Bahru-Woodlands, yang saya dapati agak mudah dan lancar.

Ini termasuk dari segi pelepasan imigresen dan kastam dengan perjalanan dari Singapura ke JB kurang lebih setengah jam. Cuma kesukaran mendapatkan tiket kereta api itu khususnya pada hujung minggu merupakan hambatan utama.

Setelah melepasi Koswe, perjalanan ke beberapa tempat di JB pula agak lancar dengan menggunakan khidmat kereta sewa swasta seperti melalui aplikasi Grab.

Kini saya menimbangkan secara serius untuk menggunakan kenderaan awam seperti bas dan kereta api apabila memasuki JB pada masa depan, tanpa perlu memikirkan tentang kesesakan teruk di Koswe, perjalanan ke destinasi di JB, pembayaran tempat letak kereta dan bermacam-macam lagi yang perlu difikirkan jika kita memandu kereta sendiri.

Seyogia, perjalanan warga Singapura memasuki Malaysia, termasuk JB, adalah saling menguntungkan, terutamanya dari segi ekonomi.

Warga Singapura dapat berlibur sambil berbelanja (menjimatkan kos) di Johor (dan Malaysia umumnya), dengan ekonomi di Johor (dan juga Malaysia) juga akan meraih manfaat.

Bagi pengguna Singapura, kami cuma berharap proses pendaftaran dan pelaksanaan VEP dapat dipermudahkan, agar warga Singapura juga mudah ke Johor, memandangkan masih ramai pemilik kereta belum berjaya mendapatkan tag VEP sedang tarikh 1 Oktober kian hampir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg