Mantan Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, telah diletakkan dalam Skim Penahanan Rumah pada 7 Februari.
Sebagai respons kepada pertanyaan daripada The Straits Times, jurucakap Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) berkata:
“Iswaran layak untuk Skim Penahanan Rumah. Dia telah dinilai sebagai sesuai untuk penempatan dalam skim ini kerana dia dianggap berisiko rendah untuk mengulangi kesalahan, tidak melakukan sebarang kesalahan di penjara, dan mempunyai sokongan keluarga yang kukuh.”
Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) berkata banduan yang layak akan dipertimbangkan untuk Skim Penahanan Rumah setelah mereka menjalani sekurang-kurangnya 14 hari atau separuh daripada hukuman selepas pemotongan hukuman, bergantung kepada mana yang lebih lama.
Pemotongan hukuman biasanya diberikan apabila banduan menjalani dua pertiga daripada hukuman mereka.
Dalam kes Iswaran, ini bersamaan dengan lapan bulan daripada tempoh 12 bulan hukuman beliau, lapor The Straits Times.
Dia telah menjalani empat bulan di penjara sejak memulakan hukuman pada 7 Oktober 2024.
SPS berkata bahawa banduan dinilai untuk Skim Penahanan Rumah berdasarkan beberapa faktor, termasuk tingkah laku, kemajuan dalam pemulihan, dan tindak balas mereka semasa dipenjarakan.
SPS juga menjelaskan bahawa banduan yang layak boleh dipindahkan ke penahanan rumah untuk tempoh sehingga 12 bulan bagi membantu mereka dalam proses pemulihan dan penyesuaian semula dengan masyarakat.
Jurucakap itu menambah bahawa Iswaran akan menjalani baki hukuman di kediamannya dengan syarat-syarat tertentu.
Ini termasuk pemantauan waktu perintah berkurung menggunakan alat pemantauan elektronik, terlibat dalam pekerjaan, pembelajaran, atau latihan, serta melaporkan diri kepada SPS untuk sesi kaunseling.
Pada 2024, sekitar 44 peratus banduan yang layak untuk Skim Penahanan Rumah didapati sesuai untuk dipindahkan ke skim tersebut.
Pada 3 Oktober, Iswaran dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan.
Hukuman tersebut hampir dua kali ganda berbanding enam hingga tujuh bulan penjara yang diminta pihak pendakwaan.
Dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pada 24 September, yang sepatutnya menjadi hari pertama perbicaraan yang dinantikan ramai, di mana dia berhasrat untuk membersihkan namanya.
Dia mengaku bersalah atas empat rtuduhan menerima barangan berharga sebagai penjawat awam daripada Ong Beng Seng, 78 tahun, pengerusi penganjur perlumbaan Formula Satu Singapore GP, dan Encik David Lum Kok Seng, pengarah urusan syarikat pembinaan Lum Chang Holdings.
Tuduhan kelima adalah kerana menghalang proses keadilan dengan membuat pembayaran sebanyak $5,700 bagi penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura pada 2022, yang ditanggung oleh Ong.
Iswaran membuat pembayaran tersebut untuk mengelirukan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), yang menemui namanya dalam senarai penumpang penerbangan yang dirampas semasa menyiasat rakan-rakan Ong.
Ong telah didakwa pada 4 Oktober 2024 kerana membantu Iswaran menerima hadiah dan membantu dalam menghalang proses keadilan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg