Kisah S. Iswaran tergelincir daripada kedudukan mulia mengundang perhatian besar: daripada penerbangan dengan jet peribadi dan menginap di bilik hotel mewah di Four Seasons, bertukar kepada menaiki van penjara dan ditempatkan di sel penjara persendirian, bertilamkan tikar jerami.
Ia menandakan tamatnya kerjaya dalam perkhidmatan awam yang menyaksikan dia naik pangkat dalam perkhidmatan pentadbiran sebelum menyertai politik pada 1997.
Iswaran, 62 tahun, tiba di Mahkamah Negara pada 7 Oktober sekitar 3.30 petang, ditemani seorang saudara lelaki yang tidak mahu dikenali.
Selepas menyerahkan kad pengenalannya di Mahkamah 4A, dia dibawa ke kemudahan lokap mahkamah, dan kemudian dibawa ke van Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) yang menunggu untuk membawanya ke Penjara Changi.
Jurucakap SPS memberitahu The Straits Times (ST) bahawa semua banduan, termasuk Iswaran, akan dikenakan layanan dan peraturan yang sama.
Jurucakap itu berkata: “Setelah masuk, semua barangan peribadi banduan diambil dan dicatatkan... mereka akan diperiksa jika ada barangan seludup, selepas itu diperiksa oleh pegawai perubatan penjara.”
Banduan dikumpulkan di bawah tiga kluster – A, B dan C.
ST difahamkan Iswaran mungkin dikurung dalam kluster B, tempat kebanyakan penjenayah kolar putih ditempatkan.
Banduan yang dipindahkan dari mahkamah ke penjara disaring dengan teliti.
Mereka juga dikehendaki memakai pakaian penjara – kemeja-T putih dan seluar pendek biru – dan ditandakan dengan gelang tangan.
Menurut SPS, semua banduan menjalani saringan kesihatan standard sebelum mereka mengambil barang seperti berus gigi, ubat gigi, pakaian, selipar, tuala dan sudu plastik untuk makan.
Mereka kemudiannya dibawa ke salah satu daripada tiga jenis sel di Changi – sel tunggal yang luasnya sekitar 7 meter persegi, sel yang boleh menempatkan empat banduan seluas 10 meter persegi, atau sel lapan banduan 20 meter persegi.
Menjawab pertanyaan ST, jurucakap SPS berkata: “Memandangkan SPS menilai bahawa terdapat risiko keselamatan lebih tinggi ke atas Iswaran jika diletakkan bersama banduan lain, SPS menempatkannya di sel sendirian.”
Jurucakap itu menambah bahawa tiada katil disediakan kepada bekas menteri itu, yang akan tidur di atas tikar jerami dan diberi dua selimut.
Katil hanya disediakan bagi mereka yang memerlukan penjagaan tambahan ekoran usia tua atau masalah bergerak.
Peguam jenayah berkata banduan biasanya diasingkan mengikut syarat penjara dan risiko keselamatan mereka.
Namun pengaturan khas masih boleh dibuat.
Peguam Cory Wong, pengarah Invictus Law Corporation, berkata bekas menteri pengangkutan itu masih ada maklumat rahsia negara sebelum ini.
Jelasnya, pengaturan sedemikian boleh dibuat sekiranya Iswaran dinilai berisiko membocorkan rahsia negara di bawah ancaman, paksaan atau paksaan oleh banduan lain.
Walaupun tidak mungkin, ia tidak mustahil, kata peguam kanan pembelaan jenayah, Encik Rajan Supramaniam, daripada Regent Law.
Encik Rajan, yang pernah menjadi pegawai kanan di SPS, berkata mengikut pengalamannya, tiada pengaturan khas diberikan kepada mana-mana banduan.
Encik Rajan dan Encik Wong berkata bahawa dalam kebanyakan kes, banduan diberikan satu pertiga pengampunan penuh untuk tingkah laku yang baik.
Ini bermakna Iswaran mungkin dikeluarkan dari penjara sekitar Mei 2025, selepas menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya lapan bulan, kecuali terdapat sebarang isu salah laku, kata peguam-peguam itu.
Dia mungkin diminta menjalani sebahagian hukuman penjara di rumah dengan gelang elektronik, kata Encik Rajan.
Sepanjang kerjaya hampir 40 tahun, Iswaran pernah memegang jawatan di Kementerian Pendidikan dan perbadanan Temasek sebelum pelantikannya pada 2015 sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Dia memulakan kerjayanya dengan Perkhidmatan Pentadbiran Singapura pada 1987, sebelum dipinjamkan ke Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Dia pernah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen sejak 1997, dan menganggotai Kabinet pada 2006.
Sekitar masa inilah Iswaran, dalam kedudukan ketika itu sebagai Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), bekerjasama dengan taikun hartanah, Ong Beng Seng, untuk meyakinkan ketua eksekutif Kumpulan Formula Satu (F1) ketika itu, Encik Bernie Ecclestone, supaya menjadikan Singapura sebagai tempat pertama bagi perlumbaan malam sukan itu.
Pada 24 September, Iswaran mengaku bersalah atas lima pertuduhan.
Empat pertuduhan bagi mendapatkan barangan berharga sebagai penjawat awam daripada Ong dan Encik David Lum Kok Seng, pengarah urusan syarikat pembinaan Lum Chang Holdings.
Pertuduhan kelima adalah kerana menghalang perjalanan keadilan, dengan membuat bayaran $5,700 bagi penerbangan kelas bisnes dari Doha ke Singapura pada 2022 yang ditanggung Ong.
Ong, 78 tahun, didakwa pada 4 Oktober kerana bersubahat dengan seorang penjawat awam untuk mendapatkan hadiah, dan bersubahat menghalang keadilan.
Jabatan Peguam Negara berkata tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Encik Lum.
Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Iswaran pada 3 Oktober, Hakim Vincent Hoong menyifatkan Ong memupuk sifat muhibah apabila menawarkan hadiah kepada dan memenuhi permintaan Iswaran bagi pelbagai barangan.
Kes Iswaran tergelincir daripada kedudukannya itu berlaku menyusuli perjalanan pada Disember 2022 ke Doha – satu perjalanan yang didakwa ditawarkan Ong kepada Iswaran.
Ong dikatakan telah menyampaikan jemputan pengerusi jawatankuasa penganjur Piala Dunia Qatar 2022 kepada Iswaran.
Iswaran terbang ke Doha menaiki jet peribadi pemilik hotel itu dan menginap di Hotel Four Seasons dibiaya Ong.
Dia kemudian terbang pulang dengan penerbangan kelas bisnes, tetapi namanya ditemui dalam dokumen penerbangan Ong ketika Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyiasat perkara berasingan yang melibatkan sekutu Ong.
Ong kemudian memaklumkan kepada Iswaran bahawa CPIB telah merampas dokumen itu, mendorong Iswaran meminta hartawan itu memberinya bil bagi penerbangan itu bagi mengelak siasatan.
Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, berkata di Parlimen pada Ogos 2023 bahawa CPIB telah terlebih dahulu memaklumkan kepadanya tentang siasatan mereka pada Mei 2023.
Iswaran mendakwa dia tidak bersalah sejak awal dan menolak semua pertuduhan.
Namun pada hari pertama perbicaraannya pada 24 September, dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan rasuahnya kepada pertuduhan Seksyen 165.
Seksyen 165 menjadikannya satu kesalahan bagi penjawat awam menerima atau mendapatkan sebarang benda berharga, secara percuma atau untuk bayaran tidak memadai, daripada sesiapa yang berkaitan dengan tugas rasminya.
Iswaran meletak jawatan pada 16 Januari selepas dia didakwa di mahkamah – menandakan tamatnya kerjaya politiknya selama 27 tahun.
Dia juga bertanggungjawab ke atas GRC West Coast semasa peletakan jawatannya.
Selepas Iswaran dijatuhi hukuman pada 3 Oktober, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata walaupun bekas menteri itu telah memberi sumbangan besar dalam kerjaya politiknya, pemerintah mempunyai kewajipan untuk bertindak menentang rasuah.
Beliau berkata: “Tiada sistem politik yang kebal daripada kelemahan manusia. Bagaimana tegas kita bertindak menentang rasuah sekali pun, dari semasa ke semasa sesetengah individu akan tergoda melakukannya dan menyimpang.
“Kami akan melakukan apa yang betul untuk Singapura dan warga Singapura, tanpa mengira harga politik atau penderitaan peribadi yang kami rasai apabila seorang rakan sekerja dan kawan dipenjarakan.”
“
Tiada sistem politik yang kebal daripada kelemahan manusia. Bagaimana tegas kita bertindak menentang rasuah sekali pun, dari semasa ke semasa sesetengah individu akan tergoda melakukannya dan menyimpang. Kami akan melakukan apa yang betul untuk Singapura dan warga Singapura, tanpa mengira harga politik atau penderitaan peribadi yang kami rasai apabila seorang rakan sekerja dan kawan dipenjarakan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg