Mantan menteri pengangkutan, S. Iswaran, telah disabit dengan lima pertuduhan pada hari pertama perbicaraannya.
Dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan memperoleh, sebagai penjawat awam, barangan berharga daripada pengerusi Singapore GP, promoter perlumbaan Formula Satu (F1), Encik Ong Beng Seng, dan Encik David Lum, pengarah urusan syarikat pembinaan yang tersenarai di papan utama, Lum Chang Holdings.
Iswaran, 62 tahun, juga mengaku bersalah atas satu pertuduhan menghalang proses keadilan. Dia telah membayar balik lebih $5,000 kepada Singapore GP bagi kos penerbangan kelas perniagaannya dari Doha ke Singapura yang diambilnya pada 11 Disember 2022, atas perbelanjaan Encik Ong melalui syarikat itu, lapor The Straits Times.
Berikut adalah detik penting mahkamah pada 24 September.
Iswaran memutuskan untuk mengaku bersalah
Lebih lapan bulan selepas dia kali pertama didakwa, Iswaran tiba di mahkamah hampir 9.30 pagi.
Dia berdepan 35 pertuduhan termasuk dua pertuduhan rasuah, satu pertuduhan melakukan sesuatu yang berkemungkinan menghalang perjalanan keadilan dan baki 32 lagi mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Seksyen 165 menjadikannya satu kesalahan bagi penjawat awam untuk menerima atau mendapatkan apa-apa yang bernilai, secara percuma atau dengan bayaran yang tidak mencukupi, daripada mana-mana orang yang dia terlibat dalam kapasiti rasmi.
Iswaran dituduh memperoleh barangan bernilai lebih $400,000 daripada Encik Ong dan Encik Lum. Barangan itu termasuk tiket perlumbaan F1, perlawanan bola sepak, beberapa botol wiski dan sebuah basikal Brompton.
Pada permulaan prosiding, pihak pendakwaan meminda dua pertuduhan rasuah kepada pertuduhan mengikut Seksyen 165.
Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong berkata pihak pendakwaan akan meneruskan empat pertuduhan mengikut Seksyen 165 dan satu pertuduhan menghalang perjalanan keadilan, dengan baki 30 pertuduhan akan dipertimbangkan.
Peguam Iswaran, Peguam Kanan Davinder Singh, berkata anak guamnya akan mengambil “tindakan tertentu”, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan rasuah.
Bekas menteri itu mengaku bersalah dan disabitkan dengan lima pertuduhan.
Lebih daripada $380,000 dibayar balik, barangan akan diserahkan kepada negara
Mahkamah mengetahui bahawa Iswaran telah membayar balik sepenuhnya keuntungan kewangan daripada semua kesalahannya di bawah Seksyen 165, yang berjumlah $380,305.95.
Jumlah itu tidak termasuk kos barang-barang yang dirampas oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) daripada Iswaran semasa siasatan, yang akan dilucuthakkan kepada negara, serta kos penerbangan Doha-Singapura bernilai $5,700, yang telah dibayarnya.
Barangan yang bernilai $17,291.97 yang dirampas daripada Iswaran oleh CPIB ialah:
- Empat botol minuman wiski Gordon & MacPhail Caol Ila, bernilai $1,084.46
- Tiga botol minuman wain Albert Bichot Domaine du Clos Frantin Grands Echezeaux Grand Cru 2015, bernilai $1,177.21
- Tiga botol wain Pichon Lalande 2010, bernilai $955.80
- Sebatang pemukul golf TaylorMade, bernilai kira-kira $749
- Sembilan kayu golf Honma Beres BE-08, bernilai $4,420
- Sebuah basikal Brompton T Line, bernilai $7,907.50
- Dua botol wiski M&H Elements Sherry Cask, bernilai $198
- Satu pemukul putter golf Scotty Cameron Phantom, bernilai kira-kira $600
- Satu pemukul chipper golf dengan perkataan “Wilson Harmonized Chipper”, bernilai kira-kira $100
- Satu pemukul chipper golf dengan perkataan “ChipR” dan “Ping”, bernilai kira-kira $100
Pendakwa menuntut penjara enam hingga tujuh bulan
Pihak pendakwa meminta sejumlah enam hingga tujuh bulan penjara bagi lima pertuduhan Iswaran itu.
Encik Tai berkata fakta menunjukkan bahawa Iswaran adalah “lebih daripada penerima pasif” hadiah-hadiah berkenaan, sambil menonjolkan hubungan perniagaan Iswaran yang penting dengan Encik Ong dan Encik Lum. Tambahnya, tidak menghukum perbuatan sedemikian akan memberi isyarat bahawa perbuatan ini boleh diterima.
Faktor utama hukuman yang beliau nyatakan termasuk kedudukan Iswaran sebagai menteri, yang merupakan pejabat eksekutif tertinggi dalam Pemerintah Singapura.
“Semakin tinggi jawatan penjawat awam berkenaan, semakin serius kesalahannya,” katanya.
Perbuatan Iswaran mempunyai kesan yang besar terhadap reputasi Pemerintah dan pada masa dia meletakkan jawatan, dia telah menjadi menteri selama 12 tahun, kata Encik Tai.
“Hakikat bahawa dia adalah seorang menteri yang mempunyai kekananan dan kedudukan sedemikian akan menguatkan kesan kelakuannya sebagai yang tertuduh,” tambahnya.
Encik Tai juga berkata Iswaran tidak mengisytiharkan sebarang hadiah yang diperolehnya untuk dirinya sendiri, yang sebahagian daripadanya dia edarkan kepada rakan-rakannya.
Pembela berhujah untuk hukuman penjara tidak lebih daripada lapan minggu
Encik Singh berhujah agar Iswaran dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih satu hingga lima minggu bagi setiap pertuduhan, dan tidak lebih daripada lapan minggu penjara kesemuanya.
Iswaran sentiasa menegaskan bahawa pertuduhan Akta Pencegahan Rasuah (PCA) terhadapnya adalah “tidak berasas”, kata Encik Singh.
Beliau juga berkata bahawa barang-barang itu diberikan dalam konteks persahabatan Iswaran dengan Encik Ong dan Encik Lum.
Iswaran menerima tiket Bilik Hijau F1 untuk tujuan mengagihkannya kepada orang lain untuk F1. Tiket yang tidak digunakan telah dipulangkan, tambah Encik Singh.
Iswaran tidak mengetahui undang-undang di bawah Seksyen 165 pada masa itu, tetapi memahami bahawa kejahilan undang-undang bukan alasan, katanya.
Encik Singh berkata adalah tidak logik bahawa tindakan Iswaran mempunyai kesan yang besar terhadap reputasi Pemerintah kerana beliau menteri.
Orang ramai hanya mengetahui tentang pemberian itu pada masa Iswaran didakwa, dan dengan mendakwa menterinya sendiri, Pemerintah telah menghantar isyarat paling kuat bahawa ia mengekalkan komitmennya terhadap integriti, tambahnya.
“Ia tidak pernah mengenai wang, atau ketamakan wang,” kata Encik Singh.
Perdebatan hangat atas pertuduhan yang dipinda
Dalam ucapan Encik Singh semasa mitigasi, beliau berkata Iswaran tidak memperoleh sebarang hadiah yang diterimanya daripada Encik Ong dan Encik Lum secara rasuah.
Adalah penting bagi Iswaran untuk dibebaskan di mahkamah berhubung pertuduhan yang melibatkan Encik Ong, termasuk pertuduhan rasuah, kata Encik Singh.
“Walaupun dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan itu, dia tidak menjejaskan kedudukan Pemerintah dan kedudukan serta reputasi Pemerintah tidak terjejas... pertuduhan itu tidak perlu dijelaskan,” katanya.
Encik Tai kemudiannya bangkit untuk menjelaskan bahawa “tiada pembebasan” untuk tuduhan rasuah.
“Kami tidak menarik balik pertuduhan-pertuduhan itu, yang telah dipinda,” katanya, sambil menambah mahkamah tidak mendapati tiada rasuah, dan bahawa pihak pendakwaan mempunyai asas yang baik untuk membawa pertuduhan rasuah.
Hakim Vincent Hoong berkata adalah “tiada guna” untuk berhujah mengenai apa yang mendorong pertuduhan yang dipinda, dan ia tidak akan relevan dalam hukuman itu.
Pertukaran pendapat antara pihak pendakwaan dengan pembelaan mengenai perkara ini berlangsung selama kira-kira 15 minit, dan menjadi hangat pada beberapa ketika.
Iswaran akan dijatuhkan hukuman pada 3 Oktober
Selepas mendengar hujahan hukuman daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim Vincent Hoong berkata beliau akan memberikan keputusannya mengenai hukuman itu pada 10 pagi 3 Oktober.
Ikat jamin Iswaran telah dilanjutkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg