Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbicaraan kes Iswaran ditangguh ke 24 Sep

Sep 5, 2024 | 6:47 PM
Perbicaraan kes mahkamah mantan Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, telah ditangguhkan ke 24 September.
Perbicaraan kes mahkamah mantan Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, telah ditangguhkan ke 24 September. - Foto ST

Perbicaraan kes mahkamah mantan Menteri Pengangkutan, S. Iswaran, yang pada asalnya dijadualkan bermula pada 10 September, telah ditangguhkan ke 24 September.

Pada 5 September, Pejabat Peguam Negara (AGC) berkata pihak pendakwaan dan pihak pembelaan telah meminta mahkamah menangguhkan permulaan perbicaraan, yang dipersetujui oleh mahkamah kerana ia adalah permintaan bersama.

Iswaran, 62 tahun, kini berdepan dengan 35 pertuduhan secara keseluruhan, melebihi 27 pertuduhan yang dihadapkan kepadanya pada 18 Januari.

Dua daripada pertuduhan itu adalah berkenaan rasuah melibatkan kira-kira $166,000, manakala satu lagi berkenaan menghalang keadilan.

Baki 32 lagi pertuduhan adalah berkenaan mendapatkan barangan bernilai lebih $237,000 sebagai seorang penjawat awam.

Tuduhan itu berkaitan dengan urusannya dengan taikun hotel dan hartanah, Ong Beng Seng, serta pengarah urusan Lum Chang Holdings, David Lum.

Pada 25 Mac, dia dihadapkan dengan lapan lagi pertuduhan berkaitan barang yang didakwa diperolehnya daripada Encik Lum.

Ini termasuk botol wiski, kayu golf dan basikal Brompton.

Pada 8 Mei, Iswaran memenangi bidaan untuk kedua-dua set pertuduhan didengar dalam satu perbicaraan.

Pihak pendakwaan mahu pertuduhan berhubung Encik Lum dibicarakan terlebih dahulu, diikuti pertuduhan berhubung Encik Ong.

Pada 3 September, Mahkamah Rayuan menolak percubaan ketiga dan terbaru Iswaran untuk mendapatkan kenyataan bersyarat bagi setiap saksi pendakwaan.

Kenyataan bersyarat ialah cara memberikan keterangan dalam kenyataan bertulis, sebagai ganti keterangan lisan.

Percubaan pertama pihak pembelaan untuk perintah mahkamah bahawa pihak pendakwaan perlu memberikan kenyataan bersyarat telah ditolak pada Jun.

Pasukan undang-undang Iswaran, yang diketuai oleh Peguam Kanan Encik Davinder Singh, menegaskan bahawa pihak pendakwaan dikehendaki memberi kenyataan bersyarat bagi setiap saksi yang ingin dipanggil pada perbicaraan.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa undang-undang menghendaki ia menyediakan hanya kenyataan bersyarat yang ingin diakui pada perbicaraan.

Mereka berkata ia tidak berhasrat untuk memasukkan sebarang kenyataan bersyarat pada perbicaraan Iswaran.

Tiada kenyataan sedemikian telah direkodkan, dan oleh itu tiada satu pun diberikan kepada pihak pembelaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg