Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iswaran mohon pihak pendakwa serahkan keterangan semua 56 saksi

Jul 5, 2024 | 9:01 PM
Mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran (kanan), tiba di Mahkamah Agung bersama peguamnya pada 5 Julai.
Mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran (kanan), tiba di Mahkamah Agung bersama peguamnya pada 5 Julai. - Foto REUTERS

Mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, yang menghadapi 35 pertuduhan, pada 5 Julai berusaha mendapatkan pihak pendakwa untuk menyerahkan kenyataan bersyarat bagi kesemua 56 saksi pendakwa.

Kenyataan bersyarat adalah satu cara memberikan keterangan secara bertulis dan bukannya lisan.

Iswaran, yang menghadapi tuduhan membabitkan barangan bernilai lebih $400,000, tiba di Mahkamah Agung bersama pasukan pembelaannya sekitar 9.30 pagi.

Pasukan pihak pendakwa berhujah mereka telah menyediakan senarai 56 saksi dan menjelaskan peranan masing-masing dalam kes tersebut, dan tidak wajib menyerahkan kenyataan bersyarat saksi-saksi tersebut.

Salah seorang daripada tujuh saksi pendakwa yang dinamakan dalam dokumen mahkamah itu ialah isteri Iswaran, Cik Taylor Kay Mary.

Pihak pendakwa berkata ia telah mendedahkan kepada pihak pembelaan tujuh kenyataan yang diambil daripadanya oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) semasa siasatan, lapor The Straits Times.

Daripada 35 pertuduhan yang Iswaran hadapi, 27 adalah berkaitan hartawan hotel dan hartanah, Encik Ong Beng Seng.

Lapan pertuduhan berkaitan pengarah urusan syarikat Lum Chang Holdings yang tersenarai, Encik David Lum Kok Seng.

Daripada pertuduhan berkaitan Encik Ong, 24 berada di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dua kerana rasuah dan satu kerana menghalang proses keadilan.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menjadikan satu kesalahan bagi penjawat awam untuk menerima barangan berharga, tanpa bayaran atau bayaran setimpal, daripada seseorang yang terlibat dengan urusan rasminya.

Di bawah undang-undang, pihak pendakwa perlu mengemukakan senarai barang kes, kenyataan bersyarat daripada saksi yang ingin digunakan dalam perbicaraan dan kenyataan siasatan yang dibuat oleh tertuduh.

Pasukan pembelaan Iswaran, yang diketuai Peguam Kanan Davinder Singh, sebelum ini berhujah supaya Mahkamah Agung memerintahkan pihak pendakwa memfailkan dan menyerahkan keterangan semua saksi yang akan dipanggil dalam perbicaraan tersebut.

Permohonan di hadapan penolong pendaftar itu ditolak pada 11 Jun.

Namun, pihak pembelaan memfailkan permohonan semakan jenayah terhadap keputusan itu. Ini didengar semasa prosiding pada 5 Julai.

Pihak pembela juga meminta Mahkamah Agung mengarahkan pihak pendakwa bertanya setiap saksi perbicaraan sama ada mereka bersedia memberi kenyataan bersyarat, dan merekodkan serta menyerahkan kenyataan bersyarat bagi semua saksi yang bersedia berbuat demikian.

Pendirian pihak pembelaan ialah, jika terdapat saksi yang tidak bersetuju memberi kenyataan bersyarat, pihak pendakwa mesti memberi pihak pembelaan draf kenyataan bersyarat yang memperincikan keterangan yang ingin diberi tumpuan.

Pihak pendakwa juga mesti mengemukakan surat yang menyatakan nama saksi dan sebab-sebab mereka tidak bersetuju memberikan kenyataan bersyarat..

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg