Bekas Menteri Pengangkutan S. Iswaran, telah selesai menjalani hukuman penjara dan tidak lagi berada di bawah tahanan penjara.
Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) berkata pada 6 Jun bahawa beliau telah selesai menjalani Skim Tahanan di Rumah.
Pada 3 Oktober 2024, Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dalam kes yang menyaksikan seorang bekas menteri Kabinet dijatuhi hukuman, buat pertama kali.
Beliau telah menghabiskan empat bulan di penjara sejak memulakan hukuman pada 7 Oktober 2024.
Encik Iswaran kemudian diletakkan di bawah Skim Tahanan di Rumah pada 7 Februari, lapor The Straits Times (ST).
SPS sebelum ini berkata bahawa Encik Iswaran dinilai sesuai untuk skim itu kerana berisiko rendah untuk mengulangi kesalahan, tidak melakukan sebarang kesalahan di dalam penjara dan mempunyai sokongan keluarga yang kuat.
Banduan yang menunjukkan kelakuan baik di penjara layak mendapat pengurangan hukuman selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman mereka, atau selepas 14 hari, mana-mana yang lebih lama.
Dalam kes Encik Iswaran, ini bermakna beliau telah memenuhi kelayakan selepas menjalani hukuman lapan bulan dari tempoh 12 bulan yang dijatuhkan kepadanya.
SPS berkata banduan dinilai untuk kelayakan mereka dalam skim itu dengan mengambil kira pelbagai faktor, seperti kelakuan, kemajuan dan tindak balas mereka terhadap pemulihan semasa dipenjarakan.
Di bawah Skim Tahanan di Rumah, Encik Iswaran menjalani baki hukuman di kediamannya dengan syarat tertentu.
Ini termasuk pemantauan perintah berkurung menggunakan tag elektronik, terlibat dalam pekerjaan, pembelajaran atau latihan, serta melaporkan diri kepada SPS untuk kaunseling.
Encik Iswaran mengaku bersalah atas lima pertuduhan pada 24 September 2024, termasuk menerima barang berharga daripada Ong Beng Seng, pengerusi Singapore GP, dan Encik David Lum Kok Seng, pengarah Lum Chang Holdings.
Tuduhan kelima adalah kerana menghalang proses keadilan dengan membuat pembayaran sebanyak $5,700 bagi penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura pada 2022, yang ditanggung oleh Ong.
Encik Iswaran membuat pembayaran tersebut untuk mengelirukan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), yang menemui namanya dalam senarai penumpang penerbangan yang dirampas semasa menyiasat rakan-rakan Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg