Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ong Beng Seng dikenakan dua tuduhan berkaitan kes Iswaran

Oct 4, 2024 | 6:01 PM
Pengerusi Singapore GP, Ong Beng Seng, adalah antara beberapa individu yang dipanggil Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berhubung siasatan ke atas S. Iswaran.
Pengerusi Singapore GP, Ong Beng Seng, adalah antara beberapa individu yang dipanggil Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berhubung siasatan ke atas S. Iswaran. - Foto ST

Hartawan hartanah, Ong Beng Seng, telah dikenakan tuduhan pada 4 Oktober kerana bersubahat dengan seorang penjawat awam untuk mendapatkan hadiah dan bersubahat menghalang proses keadilan.

Menurut The Straits Times, kedua-dua tuduhan berkaitan dengan siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) terhadap bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran.

Pada 3 Oktober, Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan, antara lain kerana menerima sejumlah barang berharga daripada Ong.

Iswaran juga dituduh menerima barangan berharga daripada Encik David Lum Kok Seng, pengarah urusan syarikat binaan Lum Chang Holdings yang tersenarai di papan utama bursa. Namun, tiada tuduhan akan dikenakan terhadap Encik Lum, kata Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 4 Oktober.

Menurut dokumen mahkamah, Ong, 78 tahun, didakwa menghasut Iswaran pada Disember 2022 untuk mendapatkan barang berharga dengan menawarkan bekas menteri itu lawatan dari Singapura ke Doha melalui pesawat peribadi Ong bernilai AS$7,700 ($10,410).

Ong juga mengatur penginapan satu malam di Four Seasons Hotel Doha dengan nilai $4,737.63; dan penerbangan kelas bisnes dari Doha ke Singapura dengan nilai $5,700 untuk Iswaran.

Justeru, dia dikenakan satu pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 165, yang menjadikannya satu kesalahan bagi penjawat awam menerima apa-apa nilai daripada sesiapa yang terlibat dengannya dalam kapasiti rasmi tanpa bayaran atau dengan bayaran tidak memadai.

Dokumen mahkamah bagi kes Iswaran menunjukkan bahawa Ong memaklumkan kepadanya bahawa CPIB telah merampas dokumen penerbangan untuk perjalanan itu pada Disember 2022.

Ini mendorong Iswaran meminta Ong supaya mengenakan caj kepadanya bagi penerbangan itu untuk mengelakkan siasatan. Ekoran insiden ini, Iswaran dituduh menghalang proses keadilan.

Oleh itu, Ong dituduh bersubahat menghalang proses keadilan.

Antara 18 dan 25 Mei 2023, Ong didakwa sengaja membantu Iswaran membuat pembayaran $5,700 kepada Singapore GP, dengan mengarahkan penerbangan itu dibilkan kepada Iswaran.

Jumlah itu adalah kos tiket penerbangan kelas bisnes Iswaran dari Doha ke Singapura yang telah dibayar oleh syarikat itu.

Ong, yang juga pengerusi penganjur perlumbaan Formula Satu (F1) Singapore GP, adalah antara beberapa individu yang dipanggil CPIB berkenaan siasatan ke atas Iswaran.

Kesnya dibawa ke mahkamah selepas lebih setahun dia ditahan CPIB pada 11 Julai 2023. Ong kemudian membayar ikat jamin $100,000 dan dibenarkan kembara ke Bali.

Iswaran, 62 tahun, menghadapi 35 pertuduhan yang kebanyakannya membabitkan Ong. Tetapi AGC berkata tiada pertuduhan tambahan akan dikenakan terhadap Ong berhubung kes bekas menteri itu.

“Dalam membuat keputusan ini, pihak pendakwa mempertimbangkan semua fakta dan keadaan berkaitan kes, termasuk peranan yang dimainkan Ong dalam setiap transaksi,” kata AGC.

Memberi reaksi kepada pertanyaan daripada media, jurucakap AGC memberikan sebab yang sama untuk tidak membawa sebarang pertuduhan terhadap Encik Lum.

Hotel Properties Limited (HPL), pemaju hartanah dan hotel yang diasaskan bersama Ong, pada pagi 4 Oktober telah meminta dagangan dihentikan sementara menunggu pengumuman dikeluarkan.

Ong juga merupakan pengarah urusan syarikat dan pemegang saham utama syarikat itu.

Hartawan itu dikenali sebagai orang yang membawa Formula Satu ke Singapura pada 2008 – perlumbaan malam pertama dalam sejarah sukan itu. Dia memiliki hak bagi Grand Prix Singapura.

Iswaran merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemanduan F1, dan ketua perunding dengan Singapore GP mengenai urusan perniagaan berkaitan dengan perlumbaan itu.

Iswaran dan Ong bersama-sama pada pertengahan 2000-an meyakinkan ketua eksekutif Kumpulan Formula Satu ketika, Bernie Ecclestone, untuk menjadikan Singapura lokasi perlumbaan malam pertama sukan itu.

Pada 4 Oktober, peguam Ong, Encik Aaron Lee dari Allen dan Gledhill, meminta mahkamah penangguhan selama enam minggu, dengan mengatakan beliau memerlukan masa untuk menerima arahan daripada Ong.

Pihak pendakwa, yang diketuai Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Encik Christopher Ong, tidak membantah.

Kes ditangguhkan ke 15 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg