ITE lancar hab teknologi logistik
Meterai MOU persiap pelajar dengan kemahiran, pengalaman sebenar dalam logistik moden
Untuk mempersiapkan pelajar menghadapi keperluan industri logistik yang semakin berkembang, satu kemudahan latihan baru dinamakan Hab Teknologi Logistik dilancarkan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur pada 2 Februari.
Sekitar 600 pelajar daripada kursus Higher Nitec dalam Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan serta 150 pelatih daripada program diploma bekerja sambil belajar atau Work-Study Diploma dalam Pengurusan Rantaian Bekalan Bersepadu akan mendapat manfaat daripada kemudahan itu setiap tahun.
Semasa pelancaran itu, ITE Kolej Timur juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat Bok Seng Logistics Pte Ltd, CK Shipping (S) Pte Ltd dan Sin Chew Woodpaq Pte Ltd, serta memperbaharui kerjasamanya dengan Cargo Community Network Pte Ltd selama tempoh tiga tahun.
“Sumbangan anda amat bermakna terutamanya dalam bidang pengurusan kargo projek khusus dan penyelesaian kargo udara.
“Terima kasih juga atas perkongsian ilmu melalui program latihan bekerja di dalam dan luar negara bagi kakitangan dan pelajar, penyediaan bahan latihan industri, lawatan sambil belajar, hadiah buku, slot penceramah jemputan dan pelbagai lagi.
“Komitmen anda memastikan pelatih kami sentiasa dilengkapi dengan kemahiran terkini dan pendedahan industri yang sebenar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITE, Encik Peter Lam.
Turut hadir bagi menyaksikan pemeteraian MOU ialah Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, yang juga merasmikan pelancaran kemudahan itu.
Dalam pada itu, Hab Teknologi Logistik akan mendedahkan pelajar kepada penyelesaian digital dan automasi dalam operasi logistik moden, dan teknologi bertaraf industri.
Hal itu dilakukan menerusi kemudahan seperti pusat kawalan kembar digital yang disepadukan dengan teknologi Industri 4.0, seperti Internet Pelbagai Benda (IoT) dan analitik data besar, yang membolehkan pelajar memantau dan mengoptimumkan simulasi operasi logistik secara masa nyata.
Selain itu, terdapat juga Sistem Penyimpanan dan Capaian Automatik (ASRS), yang pertama digunakan untuk latihan logistik dalam kalangan institusi pengajian tinggi di Singapura, menurut ITE dalam satu kenyataan.
ASRS, yang digandingkan dengan robot kolaboratif (cobot), dapat memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam mengendalikan aliran kerja automasi gudang yang sebenar.
Antara pelajar yang akan dapat meraih manfaat daripada kemudahan itu ialah Cik Qurratu Janna Muhammad Yusof, 17 tahun.
Pelajar Tahun 2 kursus Higher Nitec dalam Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan itu berharap simulasi pekerjaan sebenar yang ditawarkan dalam kemudahan itu dapat mempersiapkannya menghadapi persekitaran kerja apabila beliau menamatkan pengajian pada Mac 2027.
“Hab Teknologi Logistik ini dapat membiasakan saya dengan pengalaman kerja sebenar, kerana saya tidak begitu tahu bagaimana keadaannya dalam industri logistik di luar.
“Namun, saya rasa dengan pengalaman amali atau ‘hands-on’, ditambah dengan pembelajaran video dalam talian dan bantuan pensyarah, saya tidak akan rasa begitu gementar apabila saya lulus nanti,” katanya.
Menyifatkan logistik sebagai “tulang belakang segala perkara”, anak kedua dalam keluarga tujuh beradik itu berkata pada awalnya pemahaman terhadap bidang tersebut terhad kepada penghantaran barangan daripada syarikat kepada pelanggan.
Namun setelah setahun, Cik Qurratu Janna mengerti bahawa bidang logistik dan rantaian bekalan adalah rumit dan melibatkan pengetahuan dalam operasi perniagaan, pengangkutan antarabangsa, teknologi dan automasi, di samping kerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Meskipun bidang logistik dan rangkaian bekalan lebih cenderung diceburi pelajar lelaki berbanding dengan perempuan, Cik Qurratu Janna berharap lebih ramai pelajar perempuan akan mempertimbangkan bidang itu pada masa hadapan.
“Sebagai salah satu daripada tujuh pelajar perempuan dalam kelas sebesar 25 murid, memang pada awalnya agak sukar bagi saya untuk menyesuaikan diri dengan pelajar lelaki.
“Namun, saya sedar sebenarnya kededua pelajar lelaki dan perempuan dapat menceburi bidang ini.
“Saya ingin katakan kepada pelajar perempuan agar jangan takut untuk ceburi bidang ini kerana apabila anda buktikan yang anda dapat melakukannya, diri anda akan dihormati oleh semua semua pihak,” kata Cik Qurratu Janna.

