Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ITE, TP-Link jalin kerjasama lengkapi pelajar dengan kemahiran ekonomi digital

Aug 27, 2025 | 6:07 PM
ITE, Nitec Lanjutan, Kejuruteraan Elektronik
Pelajar Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, Cik Siti Nur Amirah Anwar, bercita-cita mengikut jejak langkah bapa, abang dan kakaknya yang menceburi bidang kejuruteraan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Niat di hati Cik Siti Nur Amirah Anwar, 18 tahun, adalah mengikuti jejak langkah tiga anggota keluarganya untuk menceburi bidang kejuruteraan.

Pelajar Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu berkata:

“Bapa saya bertugas dalam bidang penyelenggaraan pesawat, manakala abang saya bekerja di sektor teknologi maklumat. Kakak pula sedang mengambil ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan elektrik.”

Berbekal azam tersebut, anak bongsu empat beradik itu berpeluang menimba pengalaman dan kemahiran mengendalikan penghala Internet dan peralatan rangkaian di kafe, hasil kerjasama ITE dan dan syarikat teknologi rangkaian, TP-Link Corporation Pte Ltd (TP-Link).

ITE dan TP-Link telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 26 Ogos di ITE Kolej Timur bagi menjalin kerjasama dalam menawarkan kursus dan latihan amali bagi memperkukuh daya saing pelajar dan pelatih ITE dalam ekonomi dan pekerjaan digital.

Melalui kerjasama tiga tahun, ITE dan TP-Link akan menawarkan tiga kursus Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) yang diiktiraf dalam industri teknologi dan sistem pengawasan, serta menyediakan peluang menjalani latihan amali serta peluang bekerja sambil belajar dan mempelajari proses inovasi di luar negara.

Kursus Pentadbir Rangkaian Dengan Pengesahan Omada (OCNA) – Pentadbir Rangkaian Wayarles melatih pelajar mengurus rangkaian keusahawanan teknologi awan.

Pensijilan OCNA – Pentadbir Rangkaian dalam Penghalaan dan Pengalihan membangun kemahiran menghala dan mengalih sistem rangkaian komputer.

Kursus Pentadbir Keselamatan VIGI (VCSA) – Penyepadu Sistem Pengawasan pula meliputi prasarana pengawasan bijak, operasi keselamatan, dan pemantauan bijak.

Cik Siti Nur Amirah adalah antara 600 pelajar kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik dan Nitec Lanjutan dalam Penyepaduan Sistem Keselamatan di ITE, yang bakal meraih manfaat daripada kursus dan latihan amali yang membantu pelajar menguasai teknologi rangkaian dan sistem pengawasan terkini.

“Saya dapat meningkatkan kemahiran teknologi serta membina keyakinan diri dan portfolio yang lebih mantap dan khusus, terutamanya kerana pensijilan ini diiktiraf dalam industri teknologi.

“Dengan semakin banyak pengalaman yang dapat ditimba, saya lebih bersedia dalam mengejar impian saya,” ujar pelajar tahun kedua itu.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan TP-Link Corporation dihadiri (dari kiri) Ketua SOHO dan VIGI di TP-Link, Encik Henry Xu; Pengetua ITE Kolej Timur, Encik Alvin Goh; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How; Pengarah Serantau TP-Link, Encik Hugo Cai; Pengarah Pusat Pengajian Elektronik dan Teknologi Maklumat di ITE Kolej Timur, Encik Peh Wee Leng dan Ketua Telco dan Perusahaan TP-Link, Encik Barry Chen.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan TP-Link Corporation dihadiri (dari kiri) Ketua SOHO dan VIGI di TP-Link, Encik Henry Xu; Pengetua ITE Kolej Timur, Encik Alvin Goh; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How; Pengarah Serantau TP-Link, Encik Hugo Cai; Pengarah Pusat Pengajian Elektronik dan Teknologi Maklumat di ITE Kolej Timur, Encik Peh Wee Leng dan Ketua Telco dan Perusahaan TP-Link, Encik Barry Chen. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pada majlis menandatangani MOU tersebut, Pengarah Serantau TP-Link, Encik Hugo Cai, berkata: “TP-Link komited bekerjasama dengan ITE untuk menyediakan peluang menerima latihan amali, pengalaman bekerja dalam sekitaran sebenar dan bimbingan daripada pakar industri berpengalaman.”

TP-Link turut menawarkan 10 peluang bekerja sambil belajar setiap tahun untuk pelajar ITE memperoleh pengalaman praktikal.

Seramai 20 pelajar ITE turut berpeluang mengunjungi ibu pejabat sejagat TP-Link di Shenzhen, China, pada November 2025 untuk meninjau secara dekat proses penciptaan dan pelancaran pembaharuan teknologi.

Daya usaha itu akan dikembangkan bagi menampung seramai 80 pelajar setiap tahun mulai 2026.

TP-Link juga akan menaja peralatan terkini di ketiga-tiga kolej ITE dan bekerjasama untuk melatih kakitangan ITE menggunakannya.

Cik Phoebe Goh Pei Ci, 18 tahun, mengikuti kursus pensijilan VCSA yang mendedahkannya kepada pelbagai jenis kamera pengawasan:

“Saya lebih berpengetahuan tentang keupayaan pelbagai kamera yang lebih bermanfaat digunakan di ruang berbeza seperti di pejabat, rumah dan di luar.

“Saya rasa program seperti ini mengukuhkan resume dan merupakan batu loncatan kepada peluang yang besar pada masa depan,” tambah Cik Goh, pelajar kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik.

Pelajar tahun kedua kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik di ITE Kolej Timur, Cik Phoebe Goh Pei Ci, mengikuti Kursus Pentadbir Keselamatan VIGI - Penyepadu Sistem Pengawasan, yang mendedahkannya kepada pelbagai jenis kamera pengawasan.
Pelajar tahun kedua kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik di ITE Kolej Timur, Cik Phoebe Goh Pei Ci, mengikuti Kursus Pentadbir Keselamatan VIGI - Penyepadu Sistem Pengawasan, yang mendedahkannya kepada pelbagai jenis kamera pengawasan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Turut hadir pada majlis MOU antara ITE dengan TP-Link selaku tetamu terhormat ialah Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.

Dalam ucapannya, beliau mengutarakan usaha pemerintah mengukuh pembangunan prasarana digital seperti rangkaian jalur lebar nasional, rangkaian 5G dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan lebih berleluasa.

“Kemahiran dan kecekapan baru diperlukan untuk membangun dan mengendalikan prasarana akan datang... Justeru, adalah penting bagi tenaga kerja dan para pelajar kita dilengkapi dengan keupayaan yang relavan,” tambah Encik Tan.

Beliau menambah: “Persaingan hari ini bukan semata-mata dengan jentera tetapi antara individu yang lebih mahir menggunakan teknologi dan memanfaatkan masyarakat serta ekonomi...

“Saya menggalakkan anak muda kita agar merebut pelbagai peluang yang terbentang dalam membangun kemahiran masing-masing.”

Sewaktu berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara ITE dan TP-Link, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, menekankan kepentingan pelajar dan tenaga kerja Singapura melengkapi diri dengan kemahiran dan keupayaan relevan, melalui kursus dan latihan amali bagi menggunakan teknologi yang dapat dimanfaatkan masyarakat dan ekonomi.
Sewaktu berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara ITE dan TP-Link, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, menekankan kepentingan pelajar dan tenaga kerja Singapura melengkapi diri dengan kemahiran dan keupayaan relevan, melalui kursus dan latihan amali bagi menggunakan teknologi yang dapat dimanfaatkan masyarakat dan ekonomi. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Encik Tan Kiat How (tengah) dan Encik Hugo Cai (kanan) mempelajari teknologi pengawasan bijak seperti kamera keselamatan, daripada pelajar kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik di ITE Kolej Timur, Cik Phoebe Goh Pei Ci (kiri).
Encik Tan Kiat How (tengah) dan Encik Hugo Cai (kanan) mempelajari teknologi pengawasan bijak seperti kamera keselamatan, daripada pelajar kursus Nitec Lanjutan dalam Kejuruteraan Elektronik di ITE Kolej Timur, Cik Phoebe Goh Pei Ci (kiri). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg