Seorang lelaki yang merakam pekerja asing berehat di kawasan kolong blok sambil mempersoalkan sama ada mereka dibenarkan untuk tidur di situ, telah menerima kecaman hebat dalam talian.
Warganet mula menyuarakan pendapat sama ada pekerja asing wajar diberi layanan sebegitu di Singapura.
Klip video tersebut yang dikongsi oleh singaporeinfluenceviral di TikTok menunjukkan sekurang-kurangnya tiga pekerja asing yang sedang duduk atau baring atas tikar di lantai kolong blok.
Lelaki yang merakam video itu menghampiri mereka sebelum melontarkan soalan bertubi-tubi sambil berkata bahawa mereka “tidak dibenarkan merokok di dalam kawasan ini”.
“Siapa kata kamu boleh tidur di sini?”
“Ini bukan tempat datuk kamu, tahu! Ini tak sopan,” katanya yang berbahasa Inggeris dalam video tersebut.
Pekerja-pekerja tersebut, yang duduk bersila di atas lantai, terus berdiam diri meskipun dihujani kata-kata.
“Kamu semua tak guna,” tambahnya sebelum beredar.
Video tersebut diberi kapsyen “Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh benarkan kontraktor tidur sesuka hati”, dan mempersoalkan sama ada pekerja asing itu tidak mempunyai tempat tinggal atau tempat rehat yang sewajarnya.
Berita Harian (BH) telah menghubungi Majlis Bandaran Bishan-Toa Payoh tetapi belum lagi menerima sebarang komen.
Pengasas badan amal pekerja asing ItsRainingRaincoats, Cik Dipa Swaminathan berkata kepada akhbar The New Paper bahawa beliau mendapati video tersebut “mengecewakan”.
“Tak perlu bersikap kasar. Mereka inilah yang membina kolong blok itu sendiri. Jadi, di manakah tempat mereka sepatutnya berehat?” katanya.
Cik Swaminathan menjelaskan bahawa pekerja migran sering bekerja dalam tempoh waktu yang panjang.
Lantas, waktu rehat tengah hari merupakan satu-satunya masa untuk mereka melepaskan penat, memandangkan kerja mereka sangat fizikal.
“Tetapi sebaik sahaja mereka berehat, mereka pula yang dipandang serong,” tambahnya, sambil menekankan keperluan untuk mengubah sikap masyarakat dan menyediakan ruang rehat yang sesuai untuk pekerja migran.
‘Mereka cuma berehat’: Netizen mempertahankan pekerja asing
Video tersebut telah meraih lebih 82,000 tontonan dan 370 tanda suka.
Sebilangan besar netizen tampil mempertahankan pekerja asing yang terbabit sambil menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai satu bentuk “gangguan” dan meminta beliau agar “jaga hal sendiri”.
Ramai berpendapat bahawa ia tidak salah untuk pekerja asing berehat di kolong blok, malah menyatakan situasi sebegini adalah perkara biasa.
“Ia tempat awam, asalkan tidak melanggar undang-undang,” kata seorang pengguna Tiktok ‘kc Teng’.
Yang lain pula menggesa lelaki itu supaya membiarkan para pekerja berehat.
“Marilah kita berbuat baik kepada mereka.
“Saya rasa kita semua setuju bahawa mereka berhak untuk berehat,” kata pengguna ‘leelaisiong’.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg