Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja kurang ambil cuti sakit jika majikan prihatin kesejahteraan minda

Syarikat Puretech Engineering Pte Ltd saksikan kadar cuti sakit turun 30 peratus dalam dua tahun kebelakangan
Oct 6, 2025 | 2:57 AM
pekerja migran, kesihatan mental,  Puretech Engineering Pte Ltd, Aaron Lim, Rana Shohel, Kementerian Tenaga Manusia (MOM)
Penolong Pengurus Keselamatan di Puretech Engineering Pte Ltd, Encik Aaron Lim (kiri), berkata terdapat perubahan positif sejak pihaknya menitikberatkan kesejahteraan kesihatan mental dalam kalangan pekerja migran di tempat tugas. Ini turut menjadi keutamaan bagi pekerja migran seperti Encik Rana Shohel yang bertugas di Singapura sejak 2015.  - Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR

Apabila Penolong Pengurus Keselamatan, Encik Aaron Lim, menyedari seorang pekerja migran berada dalam keadaan tercungap-cungap akibat serangan panik, beliau tahu cara wajar dalam menangani keadaan tersebut.

Individu itu diminta bernafas secara perlahan, satu teknik mudah yang Encik Lim, 46 tahun, pelajari hasil mengikuti kursus kesihatan mental untuk mempersiapkan dirinya bagi peranan sebagai Duta Kesihatan Mental di syarikatnya di Puretech Engineering Pte Ltd sejak 2023.

“Ramai dalam kalangan pekerja migran yang baru berhijrah ke Singapura ingin menyesuaikan diri dengan budaya serta cara hidup di Singapura, dan saya ingin bantu mereka dalam hal itu,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) pada acara sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia untuk pekerja migran di Pusat Riadah Terusan, pada 5 Oktober.

Pusat riadah yang terletak di 1 Jalan Papan, di kawasan Jurong itu khusus untuk pekerja migran.

Acara itu merupakan anjuran bersama Kumpulan Keyakinan, Penjagaan dan Penglibatan (ACE) Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan badan amal institusi bertaraf awam (IPC) yang menyediakan bantuan jagaan kesihatan buat pekerja migran, HealthServe.

Kesejahteraan minda turut menjadi keutamaan bagi pekerja migran, Encik Rana Shohel, seorang juruteknik penyaman udara yang telah bertugas di Singapura sejak 2015.

Meskipun terpaksa meninggalkan anak kecilnya yang berusia sembilan bulan serta isterinya di Bangladesh, Encik Rana berkata kehidupan di sini memang memuaskan.

Menurutnya, ia merupakan hasil sokongan antara satu sama lain yang beliau terima daripada rakan sekerjanya di bawah Program Pemimpin Sokongan Rakan Sebaya yang dilancarkan sejak 2022.

Program itu merupakan sebahagian daripada Projek Dawn (‘Depression, Awareness, Well-being and Normalisation’) atau (Kemurungan, Kesedaran, Kesejahteraan, dan Penormalan), yang dikendalikan MOM sejak 2020, dalam usaha memelihara kesejahteraan minda pekerja migran.

Di bawah program tersebut, mereka akan dilengkapi dengan kemahiran bantuan kecemasan psikologi supaya dapat membantu rakan sekerja yang mungkin menghadapi tekanan kerja atau kerinduan terhadap keluarga di tanah air masing-masing.

Pada sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia untuk pekerja migran itu, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, mengumumkan peluasan program tersebut bagi membolehkan lebih ramai sukarelawan menyertainya, memandangkan kesannya yang positif dalam memperkukuh sokongan mental di tempat kerja.

“Kesihatan mental bukan penyakit yang harus dirawat, tetapi sesuatu yang perlu ditangani dan diurus dengan berterusan,” ujar beliau.

Seramai 2,000 pekerja migran telah dilatih setakat ini, katanya.

Bagi Encik Lim yang menyelia sekitar 150 pekerja migran, setiap inisiatif yang menekankan kesihatan mental dalam kalangan pekerja migran amat berharga.

“Kadangkala mereka hanya perlukan seseorang yang sudi mendengar dan meyakinkan mereka bahawa tidak salah untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya yang telah bertugas di syarikat binaan itu sejak 2020.

Segala usaha itu telah membuahkan hasil yang tidak disangka syarikatnya, tambah Encik Lim.

Sejak pelaksanaan pelbagai inisiatif kesihatan mental di Puretech, Encik Lim berkata syarikat itu telah melihat perubahan ketara dalam semangat dan kehadiran pekerja.

Antara inisiatif yang dibangunkan beliau termasuk sistem maklum balas tanpa nama bagi memberi pekerja ruang selamat jika ingin menyuarakan kebimbangan, pada 2024.

Menurutnya, kadar cuti sakit (MC) dalam kalangan pekerja berkurang sebanyak 30 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Apabila pekerja rasa didengar dan disokong, mereka lebih tenang dan bermotivasi untuk datang kerja,” jelasnya.

MC yang berkurangan, tambah beliau, bukan sahaja menunjukkan tahap kesejahteraan mental yang lebih baik, malah turut meningkatkan daya penghasilan keseluruhan syarikat.

“Pekerja yang gembira dan sihat dari segi mental lebih fokus serta bekerjasama dengan baik. Ini memberi kesan positif kepada keselamatan dan mutu kerja,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg